A+ A A-

26 STAF UniMAP TERKESAN COVID-19 DIBANTU

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 1 September - Seramai 26 staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dikesan pernah atau sedang dijangkiti wabak COVID-19 menerima sumbangan daripada universiti tersebut dalam Majlis Simbolik Penyerahan Bakul Kasih di sini, hari ini.

Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata sumbangan berupa barangan keperluan asas ini adalah tanda ingatan dan sokongan daripada UniMAP terhadap stafnya yang terkesan akibat pandemik tersebut.

 

UniMAP mengambil inisiatif untuk membantu dengan memberikan sedikit sumbangan kepada staf yang terdiri daripada pelbagai jawatan dan jabatan serta terkesan dengan wabak yang menyerang negara sejak awal 2020 lalu.

“Sumbangan ini tidak seberapa tetapi saya berharap ia mampu membantu dan menceriakan mereka setelah sembuh dan bebas dari jangkitan COVID-19 ini,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada empat penerima sebagai simbolik penyerahan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Tambah Prof. Dr. Zaliman, sumbangan ini akan diedarkan ke setiap jabatan yang terlibat untuk diberikan kepada staf tersebut mengikut kesesuaian masa dan jadual penggiliran tugas jabatan masing-masing.