A+ A A-

UniMAP BAIKI KEDUDUKAN DALAM TIGA INDIKATOR THE WUR 2022

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA,2 September 2021 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengekalkan kedudukan 1001-1200 berdasarkan laporan “Kedudukan Universiti Dunia 2022 Time Higher Education” (THE WUR 2022) menerusi 13 penunjuk prestasi yang bertujuan menyediakan perbandingan seimbang dan komprehensif.

 

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata laporan itu menyaksikan prestasi UniMAP naik dalam penilaian indikator bagi sitasi (46.3 peratus), pengajaran (20.0 peratus) dan persepsi antarabangsa (29.3 peratus) berbanding tahun lalu.

Ujarnya, pada tahun lalu indikator penilaian bagi aspek sitasi adalah 30 peratus, 18.6 peratus bagi aspek pengajaran, dan persepsi antarabangsa (7.5 peratus).

“Walaupun semua institusi di dunia turut bergelut dengan cabaran pandemik COVID-19 namun UniMAP kekal berada di tangga sama dengan pungutan markah keseluruhan agak memberangsangkan bagi penilaian ketiga-tiga indikator berkenaan,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.

Penilaian THE WUR 2022 melibatkan 1,500 buah universiti membabitkan 93 buah negara yang menggunakan metode yang sama dengan penilaian Kedudukan Universiti Dunia 2022.

Tambah Prof Dr Zaliman, UniMAP perlu meningkatkan usaha bagi melonjakkan kedudukan di persada pengajian tinggi antarabangsa.

“Secara keseluruhan skor UniMAP meningkat berbanding THE WUR 2021 terutama dalam aspek pengajaran namun perlu membaiki prestasi lagi dalam aspek penyelidikan dan penjanaan industri,” kata beliau.

Untuk rekod, UniMAP pernah dinobat antara 200 universiti berusia di bawah 50 tahun terbaik dunia yang dikeluarkan THE pada Jun 2020 setelah 3 tahun menyertai Kedudukan Universiti Dunia.