A+ A A-

PENYELIDIK UniMAP PENERIMA TUNGGAL MALAYSIA ANUGERAH PELAJAR ACTA 2020

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 3 Sept 2021 – Penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sejarah apabila menjadi penerima tunggal Anugerah Pelajar Acta 2020 dari Malaysia.

Dr Flora Somidin berjaya memperoleh pengiktirafan berprestij berkenaan hasil dari penerbitan beliau bertajuk "Direct Observation Of The Ni Stabilising Effect In Interfacial (Cu,Ni)6Sn5 Intermetallic Compounds".

 

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli berkata Anugerah Pelajar Acta itu adalah pengiktirafan berprestij diberikan kepada pelajar yang menjalankan penyelidikan yang hasil penyelidikannya memberi sumbangan besar dalam dunia penyelidikan yang diterbitkan dibawah mana-mana jurnal Acta.

Ujarnya, penyelidik itu menerbitkan penerbitannya itu di Jurnal Materialia iaitu antara beberapa jurnal dibawah Jurnal Acta antaranya Acta Materialia, Scripta Materialia, Acta Biometerialia dan Materialia. 

UniMAP berasa bangga kerana Dr Flora menjadi pelajar Malaysia tunggal menerima pengiktirafan berkenaan dan berharap ia menjadi dorongan kepada penyelidik UniMAP lain menempa pengiktirafan yang berprestij seperti itu di masa hadapan,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.

Dr Flora baharu menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di The University of Queensland, Australia dengan tajuk tesis "Phase Transformation Considerations In Manufacturing Reliable Sn-Rich Solder Joints".

Pengajian penyelidik berasal dari Sabah itu adalah dibawah penyeliaan Penasihat Penyelidikan CEGeoGTech iaitu Professor Kazuhiro Nogita turut menerima USD$2000 hasil daripada anugerah berkenaan.

Terdahulu, salah seorang penyelidik CEGeoGTech Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh juga pernah menerbitkan artikel bertajuk "Rapid Cu6Sn5 Growth At Liquid Sn/Solid Cu Interfaces" di Scripta Materialia iaitu salah sebuah Jurnal Acta dengan tiada pembetulan yang mana telah diterima dalam tempoh paling singkat iaitu hanya dalam tempoh lima hari.