A+ A A-

PERTANDINGAN USAHAWAN MUDA UniMAP 2021 LAHIR IKON KEUSAHAWANAN

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 3 September – Usaha gigih seorang pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam perniagaan pada awalnya hanya dengan menjual makanan ringan di kolej kediaman akhirnya membuahkan kejayaan.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik berkenaan, Mohamad Firdaus Ismail Hafis Mokhtar membuktikan walaupun bidang pengajiannya bukan berkaitan perniagaan tidak menghalang beliau menjana kewangan sendiri bagi menampung kos kehidupan di kampus.

 Kegigihannya itu mendorong beliau meraih Johan kategori A Perusahaan Pelajar Pertandingan Usahawan Muda anjuran Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP baru-baru ini.

Mohamad Firdaus berkata beliau mula menjual sandwich di Kolej Kediaman UniCITI Alam sebelum beralih menjual kerepek , kek dan pemanis mulut yang lain ketika di tahun akhir Pengajian Diploma UniMAP.

Ujarnya, beliau kemudian serius dalam bidang itu dengan mewujudkan lesen perniagaan sejak tiga tahun lalu apabila menceburi bidang percetakan sehingga kini menerusi platform dalam talian iaitu Instagram hammerlightresources dan Facebook hammerlight.resources.

“Saya sebelum itu berjinak dengan barangan taktikal yang dijual dalam kalangan skuad Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dengan modal daripada elaun menyertai badan beruniform itu serta penghantar makanan,” katanya yang kini menjalani latihan industri di Seri Kembangan, Selangor.

Selain Mohamad Firdaus, dua lagi pelajar dari FSGM turut meraih johan dalam kategori berbeza iaitu Nurshafikanajwa Mohd Sham (Baby Gergeous Resource) bagi kategori Perusahaan Graduan Terbaik serta Haruum Daisy Enterprise bagi kategori Projek Keusahawanan Sosial dengan ketua projeknya, Muhammad Haris Halikul Rahman serta ahli kumpulannya Mai Ayu Farzana Mior Jelani, Nur Aqilah Ismail, Aina Nazhirah Azrol Nizar, dan Wan Sabrina Wan Rithauden.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli berkata Pertandingan Usahawan Muda UniMAP 2021 itu dianjurkan bagi menyerlahkan keterampilan perniagaan pelajar/graduan dalam keusahawanan sekaligus berpeluang mewakili universiti ke Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021.

“Program ini turut mengiktiraf kecemerlangan pelajar dan graduan yang memiliki syarikat pemula atau perusahaan baharu yang mampu menjana keuntungan memuaskan dan memberi impak positif kepada pengguna.

“Ia juga berperanan sebagai platform mengenal pasti pelajar dan graduan mendapatkan dana atau pelaburan daripada agensi berkaitan sekaligus mejadi barometer kepada mereka mengukur kejayaan strategi, polisi dan usaha keusahawanan seterusnya melahirkan ikon keusahawanan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Penutup Pertandingan Usahawan Muda UniMAP 2021 secara dalam talian.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Mohd. Fo'ad Bin Sakdan, Pengarah CEICNet yang menjalankan fungsi Penolong Naib Canselor CEICnet, Prof. Madya Ts. Dr. Shafriza Nisha Basah, mantan Dekan FSGM Prof Madya Ku Halim Ku Ariffin, dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FSGM Dr Rozilawati Mahadi.