- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KPT
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 14 September - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) membenarkan pelajar, staf akademik dan staf bukan akademik yang sudah mendapat suntikan dos vaksin lengkap dan melepasi tempoh keberkesanan selepas divaksin masuk ke kampus secara berperingkat pertengahan Oktober ini.
Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, UniMAP secara dasar telah bersedia menerima pelajar tempatan dan antarabangsa kembali ke kampus dengan melakukan persiapan rapi yang kini dalam fasa akhir.
“Setakat 14 September, sebanyak 88.00 peratus pelajar dan 94.11 peratus staf UniMAP telah menerima suntikan vaksin.
“Kami juga telah memperkukuhkan Prosedur Operasi Standard (SOP) di kampus bagi mengawal penularan pandemik ini dengan menyediakan kit ujian kendiri COVID-19 kepada pelajar yang akan kembali ke kampus dan menambahbaik fasiliti pusat pengasingan di Universiti bagi menguruskan kes bergejala atau jangkitan,” katanya ketika dihubungi.
Tambah beliau, pengurusan UniMAP kini mempergiatkan usaha untuk menghubungi pelajar yang masih belum menerima suntikan vaksin untuk pergi ke pusat pemberian vaksin (PPV) berhampiran bagi menerima suntikan tersebut.
“Pihak universiti telah mengenal pasti seramai 1035 pelajar masih belum menerima vaksin atas beberapa faktor dan UniMAP telah memanjangkan maklumat pelaksanaan suntikan vaksin secara ‘walk in’ di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kepada pelajar lama dan baharunya.
“Bagi segelintir pelajar yang tidak berminat menerima suntikan, pihak UniMAP akan menggunakan mekanisme bersesuaian bagi mengenal pasti situasi sebenar pelajar terbabit,” katanya.
Ujarnya lagi, UniMAP juga akan menggunakan pelbagai medium komunikasi bagi penyaluran informasi dan tatacara kemasukan pelajar supaya tidak berlaku kekeliruan kepada masyarakat dalam usaha memastikan pembentukan persekitaran selamat dan imuniti kelompok (herd immunity) di kampus berjaya dilaksanakan.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Zaliman menyifatkan pengurangan yuran sebanyak 20 peratus kepada pelajar tempatan adalah satu langkah yang amat bertepatan bagi membantu pelajar dan keluarga yang terkesan akibat pandemik ini.
Terdahulu, UniMAP dalam usaha memastikan 100 peratus pelajar dan stafnya lengkap menerima vaksin telah menggunakan beberapa pendekatan termasuk menyediakan perkhidmatan bas untuk pelajar di kampus bagi mendapatkan vaksin di PPV.