- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
SEIKHLAS KASIH YAYASAN UniMAP SUMBANG 250 ‘DRAWING TABLET PAD’
Oleh : Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 20 September – Sebanyak 250 ‘Drawing Tablet Pad’ disumbangkan Yayasan Universiti Malaysia Perlis (YU) kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi program ‘Seikhlas Kasih’ sempena sambutan 20 tahun kegemilangan universiti itu.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah YU, Prof.Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin kepada wakil penerima ketika kunjungan hormat beliau dan Ahli Lembaga Pengarah YU kepada Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli di Library Lounge, Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.
Datuk Dr Kamarudin berkata hampir 160 unit ‘Drawing Tablet Pad’ berkenaan diberi kepada staf Gred 11 , 40 unit kepada Pusat Autisme PTSFP dan 20 unit kepada Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UniMAP sebagai tanda penghargaan dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) YU.
Ujarnya, pihak YU amat menghargai jasa staf yang telah bersama UniMAP selama hampir 20 tahun termasuk mereka di peringkat bawahan yang juga perlu diberi perhatian menerusi program kali ke-7 bagi tahun 2021 yayasan itu.
“Program yang membawa imej “Dibina Bersama” ini akan diteruskan sebagai tanda menghargai mereka yang sama-sama menjadi nadi penyumbang tenaga dan keringat selama dua dekad penubuhan dan pada masa yang sama membantu pihak universiti berkaitan kebajikan anak-anak di UniMAP,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini.
Pemandu kenderaan Encik Ahmad Shaufi Shafiei yang merupakan staf sokongan paling senior berkhidmat telah menerima sumbangan itu mewakili Skim Gred 11 manakala Pn. Shaharizah Hashim mewakili penerima Skim Kumpulan Perkhidmatan Pegawal Keselamatan.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan UniMAP, Encik Zaini Samsuddin, En. Aishamuddin Yaakob, Pegawai Eksekutif Kanan Yayasan UniMAP Encik Mohd Izwan Izhar Haris, Eksekutif Pemasaran En Hairul Hamid dan , Timbalan Ketua Pustakawan En. Md. Nizam Azid dan Pengarah PIMPIN Ustaz Muhamad Adib Hassan.
Terdahulu, pihak yayasan turut mengadakan diskusi bagi merangka beberapa perancangan bagi memantapkan usaha Yayasan UniMAP membantu Universiti dari sudut CSR.