- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP ANJUR ISETech KALI KEDUA
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 5 Oktober - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali lagi menganjurkan The 2nd International Symposium On Engineering And Technology (ISETech) yang berlangsung secara dalam talian bermula pagi tadi.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, ISETech adalah platform bagi perkongsian ilmu dan pertukaran idea antara penyelidik berfokuskan trend terkini dalam arena global.
“Kekangan masa bukan lagi satu limitasi kerana kita kini dalam fasa survival yang membuka peluang kepada penyelidik dan pihak industri untuk menjelajah bidang ilmu berkaitan elektronik, komunikasi dan asas pengkomputeran serta aplikasi.
“Mengambil kira tema ‘The Coming Revolution: Accelerating Digital Transition in a Post-COVID World’, persidangan ini ingin menonjolkan peningkatan ketara teknologi digital dalam pandemik COVID-19,” katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan persidangan tersebut.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail; Penasihat Pusat Kecemerlangan (CoE) Komputer Termaju (ADVCOMP) yang juga mantan Naib Canselor kedua UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, beliau percaya persidangan ini akan meningkat dan memberi idea yang menarik dan berinovatif.
“Ini ada peluang perkongsian pengetahuan untuk meningkatkan kualiti hidup bagi mendepani cabaran masa hadapan,” katanya.
Ucaptama disampaikan oleh Prof. Ts. Dr. Uda Hashim dengan tajuk Medical Diagnostic Device: from Laboratory to Clinical Phase Trial; dan Prof. Dr. Kosum Chansiri bertajuk Rapid DNA Strip Test for COVID-19.