- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP SAMBUT HARI AKADEMIA HARGAI JASA KAKITANGAN AKADEMIK
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 5 Oktober 2021 – Bagi meraikan dan menghargai jasa golongan akademik , Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan sambutan Hari Akademia dan Bulan Akademia 2021 peringkat universiti itu.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr Zaliman Sauli berkata bagi memeriahkan sambutan bulan Akademia yang bertemakan "Akademia Diperkasa, Digitalisasi Dibudaya" itu, universiti merancang pelbagai program dan aktiviti sepanjang bulan berkenaan yang diadakan secara dalam talian mahupun bersemuka.
“Antara program yang akan dilaksanakan termasuk program bicara akademia, wacana intelek dan anugerah pensyarah pilihan bagi setiap fakulti seperti yang disarankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Justeru, UniMAP akan menganjurkan Anugerah Akademia Cemerlang 2021, Forum Akademia Fakulti, Virtual Faculty Open Day, Forum Akademia bersama Industri “Great Engineers & Technologies” , Artikel Akademia dan program-program anjuran jabatan-jabatan di UniMAP,” kata beliau ketika berucap melancarkan Hari Akademia dan Sambutan Bulan Akademia 2021 anjuran Pejabat Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Persatuan Akademik UniMAP di Auditorium Canselori, Kampus Alam, di sini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor UniMAP (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Prof Ir. Ts. Dr Rizalafande Che Ismail, dan pegawai-pegawai utama universiti.
Sempena pelancaran sambutan berkenaan turut diadakan persembahan deklamasi puisi bertajuk Sahabat Akademia ciptaan Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) Dr Mahyun Ab Wahab yang disampaikan oleh Pegawai Latihan Vokasional Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) Muhamad Qauyum Zawawi Ahamad Suffin serta persembahan nyanyian dan petikan gitar oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) yang juga Felo Kaunselor UniMAP Dr Mohd Arsad Johanis.
Untuk rekod, UniMAP mempunyai 1125 kakitangan akademik yang berkhidmat di bawah enam fakulti universiti berteraskan kejuruteraan itu.