- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP – MYUS JALIN KERJASAMA FOKUS PENYELIDIKAN TANAMAN HEMP
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 10 September – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MYUS Hemphouse Sdn Bhd bagi membangunkan makmal penyelidikan & pembangunan (R&D) yang memfokuskan tanaman hemp.
UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli manakala MYUS Hemphouse diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Dato’ Nellsen Phillipe Young.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor UniMAP berkenan berangkat hadir bagi menyaksikan MoU berkenaan.
Turut hadir, Pengarah MYUS Datuk Muhammad Akhbar Gafoor, Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP dan Pengarah INSAT Prof. Ir. Dr Abu Hassan Abdullah.
Prof Dr Zaliman berkata, kerjasama antara UniMAP menerusi Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) dan MYUS itu akan memberi fokus kepada aktiviti penyelidikan mengenai penanaman hemp di kawasan kampus UniMAP Sungai Chuchuh, Padang Besar.
Ujarnya, kedua-dua pihak akan menjalankan penyelidikan mengenai prosedur dan aplikasi penanaman hemp serta memberi tumpuan kepada bahan-bahan berfungsi untuk pertanian terutamanya secara organik bagi meningkatkan produk pertanian negara.
“Justeru, dengan perjanjian ini, aktiviti penyelidikan mengenai penanaman ini dapat dilaksanakan dengan jayanya sekaligus hubungan Universiti – Industri dapat dieratkan dengan program kolaborasi penyelidikan yang dijalankan,” katanya.
MYUS adalah salah satu daripada beberapa syarikat yang bekerjasama dengan kerajaan Malaysia untuk mendapatkan kebenaran untuk menanam, memelihara dan mengurus pengeluaran tanaman hemp serta mengeluarkan produk berasaskan tanaman hemp yang inovatif untuk penggunaan fiber komposit, bio-diesel, perubatan, terapi dan pemeliharaan kesihatan.
UniMAP melalui INSAT akan menyediakan fasiliti yang merangkumi penggunaan tanah untuk aktiviti penanaman tanaman tersebut. Manakala MYUS bertanggungjawab dalam menyediakan kemudahan infrastruktur, sumber teknikal serta bantuan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan.