- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP PROAKTIF LAHIRKAN SUMBER MANUSIA HOLISTIK
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 13 Oktober - Selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi negara membangun, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah proaktif dalam mempelbagaikan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi, sukan, kebudayaan, dan persidangan bagi melahirkan sumber manusia holistik yang memenuhi cabaran masa depan.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, UniMAP berharap untuk menjadi agen perubahan bagi merealisasikan aspirasi ini.
“Sebagai rakyat kita wajar berubah, tambahan pula dengan kepesatan kemajuan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) global.
“Semoga UniMAP mampu membawa perubahan positif dalam agenda pembangunan dan penyelidikan negara melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan idea yang melibatkan ahli akademik, penyelidik dan industri,” katanya ketika berucap merasmikan 1st International Conference on Green Materials, Processing and Characterization 2021 (ICoGMPaC 2021).
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Rizalafande Che Ismail.
Selain itu, seramai tiga orang penyampai ucaptama persidangan iaitu, Prof. Dr. Sabu Thomas dari Mahatma Gandhi University, India; Prof. Ts. Dr. Che Mohd. Ruzaidi Ghazali dari Universiti Malaysia Terengganu; dan Prof. Madya Dr. Hasan Zuhudi Abdullah dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia turut serta dalam majlis tersebut.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, melalui persidangan ini diharap akan menjadi platform kepada ahli akademik dan penyelidik untuk bertukar-tukar idea dan ilmu pengetahuan bagi meningkatkan kemajuan teknologi Malaysia.
“ICoGMPaC 2021 adalah simposium yang menyediakan medium efektif kepada institusi dan industri untuk bertukar pengetahuan, maklumat, inovasi dan teknik penyelesaian masalah.
“Saya percaya persidangan ini akan menjadi platform terbaik bagi kolaborasi profesional di kalangan para penyelidik dalam bidang bahan lestari selain sebagai medium perbincangan dan pertukaran idea bagi pembangunan terkini dalam bidang penyelidikan,” katanya.
Ujarnya lagi, beliau yakin ICoGMPaC 2021 akan memberi manfaat melalui usaha bersama semua pihak terlibat.