- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
MENTERI PENGAJIAN TINGGI LANCAR UniMAP FOR SOCIETY
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 16 Oktober 2021 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan penjenamaan UniMAP for Society dalam memasyarakatkan universiti dengan mengintegrasikan kepelbagaian bidang kepakaran atau transdisiplin.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr Zaliman Sauli berkata UniMAP for Society merupakan satu tanggungjawab dalam menyelesaikan isu-isu masyarakat melalui Program Pemindahan Ilmu yang berteraskan integrasi kepelbagaian bidang kepakaran bagi mensejahterakan masyarakat.
“Saya yakin UniMAP komited bagi membantu menyelesaikan isu-isu yang wujud dalam masyarakat dengan melaksanakan Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) menerusi Program Pemindahan Ilmu kepakaran dan kekuatan yang dimiliki oleh universiti ini.
“Ini selari dengan penciptaan logo UniMAP for Society yang bertepatan dengan warna dan bentuk logo yang memberi maksud ‘Keluarga Malaysia’ yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia,” kata beliau ketika Pelancaran UniMAP for Society oleh Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Dr Noraini Ahmad sempena Program ‘Walkabout’ Sentuhan Kasih Mahasiswa @ KPT Prihatin di salah sebuah rumah pelajar UniMAP di Kampung Tengah Ulu Pauh, dekat sini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Mazlan Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Dr Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Datuk Rosli Yaakub, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dato’ Prof Dr Husaini Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri Pauh, Roziena Ahmad dan pengurusan tertinggi UniMAP.
Menerusi program berkenaan, delegasi KPT dan UniMAP mengadakan lawatan ke lima buah rumah pelajar UniMAP bagi menyampaikan bantuan iaitu Pelan Data RM200, wang tunai dan kotak sumbangan bagi meringankan beban keluarga pelajar yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
UniMAP turut melaksanakan USR dengan memasang lampu solar di kawasan rumah pelajar bagi tujuan keselamatan memandangkan kawasan rumah mereka gelap pada waktu malam.
Tambah Dr Zaliman , kehebatan sesebuah universiti lebih terserlah jika kepakaran yang dimiliki dikongsi bersama masyarakat bagi menyelesaikan isu-isu atau masalah yang wujud.
“Justeru, hari ini UniMAP mengambil pendekatan memasang sistem lampu solar di kawasan dua buah rumah pelajar bagi tujuan keselamatan malah ia juga memberi penjimatan elektrik sehingga RM33.80 sebulan ,” kata beliau.
Terdahulu, Dato’ Seri Dr Noraini menzahirkan ucapan tahniah kepada UniMAP atas pelancaran UniMAP for Society dan berharap inisiatif berkenaan dapat menjadi platform kepada penyelesaian isu-isu dalam masyarakat seiring dengan agenda KPT.
“Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM (PT) menggariskan 10 Lonjakan bagi mencapai aspirasi sistem dan aspirasi pelajar yang akan mendorong kecemerlangan berterusan dalam sistem pendidikan tinggi.
Bagi memastikan limpahan PPPM (PT) dirasai oleh masyarakat, Lonjakan Ekosistem Inovasi perlu diberi perhatian oleh universiti demi mewujudkan kesejahteraan masyarakat dengan membudayakan konsep Quadruple Helix antara akademia, industri, kerajaan, dan komuniti bagi membangun serta mengkomersialkan idea-idea baharu yang boleh diaplikasi untuk mendorong transformasi sosio-ekonomi masyarakat setempat,” katanya.