A+ A A-

ASPIRASI Naib Canselor: BERSAMA MENINGKATKAN KEGEMILANGAN UniMAP

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 10 November – Sepuluh indikator utama menjadi aspirasi Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi meningkatkan reputasi universiti itu selaras dengan tema Aspirasi Naib Canselor UniMAP 2021 iaitu ‘Bersama Meningkatkan Kegemilangan UniMAP’ yang berlangsung hari ini.

Indikator berkenaan ialah Pemerkasaan Akademik & Transformasi Penyampaian Pendidikan; Memperkasakan Graduan ; Penyelidikan & Inovasi ; Kecemerlangan Staf; Pemantapan Tadbir Urus; Jaringan Universiti, Kerajaan, Industri, Komuniti & Persekitaran; Ekosistem & Infrastruktur ; Kelestarian Kewangan ; Penjenamaan & Keterlihatan; dan Peningkatan Prestasi Universiti.

 

Naib Canselor UniMAP Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli berkata pemerkasaan akademik menjadi agenda utama UniMAP dengan pengukuhan bidang tujahan universiti iaitu penekanan kepada elektronik, bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, teknologi, sains dan bidang-bidang berkaitan agar universiti itu dapat bergerak seiiring hasrat Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

Ujarnya, UniMAP perlu terus memartabatkan program-program yang ditawarkan serta program-program baharu yang dituntut keperluannya oleh industri, dengan pengekalan 30 peratus program berfokus kepada kejuruteraan serta 70 peratus kepada program teknologi kejuruteraan dan teknologi.

“Sehingga hari ini 61.9 peratus daripada 42 program peringkat diploma dan sarjana muda yang ditawarkan UniMAP adalah program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), justeru UniMAP menerusi Pusat Pengurusan Akademik (AMC) akan mempercepatkan usaha bagi memastikan 70 peratus program TVET di universiti ini tercapai,” kata beliau ketika menyampaikan amanat kepada dekan-dekan dan ketua-ketua jabatan UniMAP menerusi Aspirasi Naib Canselor UniMAP 2021 di Auditorium Bangunan Canselori, Kampus UniMAP Alam Pauh Putra, di sini.

Turut hadir Timbalan-timbalan Naib Canselor UniMAP, Pegawai-pegawai Utama Universiti dan Ahli-ahli Senat.

Tambah beliau, dalam hal pengajaran dan pembelajaran (PdP), fokus juga perlu diberi kepada kandungan teras, dan nilai tambah yang pelajar perolehi daripada proses dan pengalaman yang dilalui mereka, lantas proses PdP dalam talian perlu diperkemas termasuk menggunakan sumber pembelajaran sedia ada seperti Udemy, Khan Academy dan Coursera.

“Selain itu, dalam konteks memperkasakan graduan pula penyertaan pelajar dalam program mobiliti akan menyumbang sebahagiannya kepada kadar kebolehpasaran graduan manakala peranan pelajar dalam projek-projek UniMAP for Society (U4S) perlu diberi penekanan kerana manfaatnya bukan sahaja kepada universiti tetapi juga pelajar.

“Keterlibatan pelajar dalam U4S memberi nilai tambah kepada mereka terutama di tempat kerja, serta memberi reputasi baik dalam kalangan majikan terhadap UniMAP,” katanya.

RMKe-12 yang dibentangkan Perdana Menteri pada September lalu turut memberi tumpuan terhadap pembangunan bakat sebagai usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Dalam konteks berkenaan, sistem pendidikan khususnya universiti perlu melahirkan modal insan berkualiti dan berkemahiran tinggi bagi memenuhi kehendak industri di samping menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Justeru, Prof Dr Zaliman berkata agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan juga menjadi indikator aspirasi beliau dengan mensasarkan pemerolehan geran penyelidikan sebanyak RM12 juta bagi tahun 2022.

Katanya, sebagai universiti teknikal selain daripada menjayakan agenda pendidikan dan TVET yang dikenalpasti sebagai pemboleh daya dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, UniMAP juga perlu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi utama (KEGA) di wilayah utara.

“Usaha juga perlu dilaksanakan untuk memastikan penyelidik UniMAP terlibat dengan kolaborasi penyelidikan bidang tujahan NCER di Chuping Valley Industrial Area (CVIA),” kata beliau.

Beliau berkata dari segi sasaran beliau menetapkan UniMAP dapat mencapai kedudukan Top 500 pada QS WUR 2024, Top 150 pada QS Asia Ranking 2024 manakala bagi Times Higher Education (THE) UniMAP mensasarkan Top 600 pada THE WUR 2021 dan Top 150 pada THE Asia 2025.