A+ A A-

DOORSTEP DELIVERY RAIH NAIB JOHAN CABARAN NIAGA FRANCAIS 2021

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PUTRAJAYA, 3 Disember 2021 – Inisiatif pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menubuhkan syarikat penghantaran bagi memudahkan urusan pelajar yang menginap di kolej kediaman berjaya dinobatkan sebagai Naib Johan Cabaran Niaga Francais 2021.

Syarikat yang diberi nama Doorstep Delivery yang diasaskan Chin Kuang Yong, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA), dan dibangunkan bersama Mimi Norasma Mohd Amin serta Aiswariyaah Rajakumar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) itu berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 dan geran francais bernilai RM100,000.

 

Kuang Yong berkata beliau menubuhkan Doorstep Delivery pada 2019 dan memulakan operasinya pada Ogos 2020 ketika pandemik COVID-19 dengan menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan dan barangan keperluan pelajar di UniMAP.

“Kami mensasarkan pelajar yang menginap di kolej-kolej kediaman UniMAP yang tidak mempunyai masa untuk keluar membeli makanan di kafe dan masalah ini dilihat sebagai satu peluang perniagaan kepada kami.

“Ternyata inisiatif berkenaan mendapat sambutan dalam kalangan rakan-rakan pelajar dengan caj yang dikenakan sangat berpatutan iaitu minimum RM2.00 mengikut jarak ,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini selepas menerima anugerah hasil daripada kejayaan itu di Malaysia Francais Awards 2021 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA), di sini, semalam.

Turut hadir ke majlis berkenaan ialah Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Presiden MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan.

Tambah Kuang Yong, sebagai sebuah universiti yang membawa tema UniMAP Juara Perpaduan, beliau memilih untuk bersama-sama rakan berbilang kaum bagi menjayakan Doorstep Delivery berkenaan. 

“Operasi Doorstep Delivery ini juga memerlukan komitmen daripada rakan-rakan pelajar yang ingin mendapatkan pendapatan sampingan di kampus, tetapi memandangkan hampir semua pelajar pulang ke kampung akibat pandemik, Doorstep agak terjejas.

“Justeru, dengan dana yang diperolehi saya dan pasukan akan menggerakkan semula Doorstep Delivery dengan lebih sistematik di samping membantu rakan-rakan menjana pendapatan apabila mereka menjadi penghantar makanan di dalam syarikat ini,” kata beliau.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata UniMAP berbangga dengan kejayaan kumpulan pelajar UniMAP itu yang bukan sahaja dapat memudahkan urusan seharian pelajar lain malah mampu memberi peluang mereka menjana pendapatan.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan di atas inisiatif mereka menjalankan perniagaan berkonsepkan perkhidmatan penghantaran dan berharap geran yang diperolehi dapat membantu mengembangkan lagi perkhidmatan mereka,” kata beliau.