- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Aininulniza
MUHAMMAD ZIYAD IRHAM DAN NURSHAFAWATI OLAHRAGAWAN DAN OLAHRAGAWATI UniMAP 2020
Oleh : Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 3 Disember - Muhammad Ziyad Irham Mohd Rafi dan Nurshafawati Muhammad Rashidi dinobatkan olahragawan dan olahragawati Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Majlis Anugerah Sukan UniMAP 2020 yang berlangsung di sini semalam.
Mereka pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) diraikan selepas masing-masing mencatatkan pencapaian yang membanggakan dalam kejohanan sukan yang disertai.
Muhammad Ziyad menyumbang keseluruhan lima pingat emas masing-masing tiga di Kejohanan Sukan Staf (SUKUM) 2018 dalam acara 400 meter lelaki senior; 4 x 100 meter lelaki senior; bola sepak senior dan dua emas lagi di Kejohanan Sukan Badan Berkanun (SUKANUN) 2018 dalam acara 400 meter lelaki senior; dan 4 x 100 meter lelaki senior.
Malah beliau turut menyumbang dua pingat perak di SUKANUN 2018 dan dua pingat gangsa di SUKUM 2018 dalam acara 200 meter lelaki senior; dan 4 x 400 meter lelaki senior.
Manakala Nurshafawati pula cemerlang dalam acara silat selepas meraih dua pingat emas Puteri Kelas E dan Puteri Kelas G dalam Kejohanan Silat Olahraga Perlis dan Karnival Sukan MASUM Fasa 1, 2020.
Selain itu, beliau turut menyumbang empat pingat perak Puteri Kelas E pada Karnival Sukan MASUM 2019; Kejohanan Silat Terbuka IPT & Jemputan Antarabangsa Taming Sari; Kejohanan Silat Kejuaraan Silat Kebangsaan ke - 19, Phang 2019; dan Kejohanan ASEAN University Pencak Silat IPE Championship 2019.
Bagi kategori staf pula, olahragawan dan olahragawati disandang oleh Muhammad Idris Zakaria dari Pusat Sukan dan Rekreasi; dan Nurul Ashikin Mohd Josrie dari Jabatan Pembangunan.
Kategori anugerah lain ialah Olahragawan dan Olahragawati Harapan; Pasukan Terbaik Lelaki dan Wanita; Jurulatih Terbaik Lelaki dan Wanita; Pengurus Terbaik Lelaki dan Wanita; Anugerah Sekalung Budi; dan Anugerah Khas Sukan dengan seramai 49 penerima.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata majlis anugerah sukan adalah kesinambungan bagi Majlis Anugerah Gemilang Siswa (AGS) untuk pelajar dan Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) untuk staf serta dilaksanakan secara berasingan bagi memberikan satu perasaan istimewa kepada penerima anugerah sukan.
“Seperti yang kita tahu, dalam bidang sukan ini juga terlalu ramai pelajar dan staf yang telah memberikan sumbangan.
“Majlis Anugerah Sukan UniMAP diadakan mengambil kira pencapaian pelajar dan staf dari tahun 2018, 2019 dan 2020 di mana penganjuran majlis bagi tiga tahun tersebut tidak dapat diadakan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan ekoran penularan wabak COVID19,” katanya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UniMAP Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan; dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, kejayaan yang diperoleh para atlet sepanjang tiga (3) tahun terutama ketika Negara dilanda pandemik COVID-19 adalah sumbangan yang sangat berharga demi mengharumkan nama UniMAP.
“Walaupun dalam situasi pandemik ini, pihak pengurusan sentiasa memikirkan mekanisme terbaik dalam menzahirkan penghargaan atas usaha dan sumbangan yang diberikan oleh warga UniMAP.
“Saya secara peribadi amat menghargai pencapaian anda kerana pencapaian anda adalah sumbangan yang membantu menaikkan nama UniMAP,” katanya.
Dalam majlis sama turut diadakan penyerahan bendera kepada kontinjen UniMAP ke Kejohanan Golf Universiti Awam Malaysia kali ke-48, 2021 yang akan berlangsung di UiTM Shah Alam pada 6 hingga 8 Disember 2021.