- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP BAKAL SERTAI ASP 2022
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 17 Disember - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menghantar pelajar dan stafnya ke Jepun tahun hadapan bagi menyertai Asia Summer Program (ASP).
Perkara ini disuarakan Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli ketika menerima kunjungan daripada Jeneral Konsulat Jepun ke Malaysia, Orikasa Hiroyuki di universiti tersebut, semalam.
“UniMAP akan menyertai ASP dan jika ia dilaksanakan secara fizikal, kita akan menghantar pelajar dan staf ke Josai International University (JIU) yang menjadi tuan rumah bagi tempoh dua atau tiga minggu.
“Saya berharap hubungan harmoni dan kerjasama Malaysia dan Jepun akan bertambah erat, berterusan dan terpelihara untuk kemajuan generasi akan datang,” katanya.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; dan wakil Alumni Look East Policy (ALEPS), Hazman Zainuri.
Ujar Prof. Dr. Zaliman, perjumpaan pertama bersama Orikasa ini menjadi platform bagi menerokai peluang antara UniMAP dan pihak konsulat untuk bekerjasama bagi memperluas dan memperkembangkan peluang yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Bagi UniMAP ini merupakan inisiatif berharga bagi menyempurnakan sasaran UniMAP untuk menyediakan pendidikan kepada golongan profesional tidak ketinggalan juga pelajar bagi memastikan mereka ini mencapai kepuasan diri di samping menyerlah potensi diri.
“Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Februari 1982 telah diangkat menjadi agenda nasional negara bagi meningkatkan ekonomi Malaysia melalui gabungan cara bekerja orang Jepun; nilai moral; norma progresif dan etika kerja mereka,” katanya.
Tambahnya, sejak itu lebih 15,000 ekspatriat Malaysia berada di Jepun dan hubungan ini semakin berkembang.
“Selepas hampir 40 tahun pelaksanaan polisi ini, kita dapat menyaksikan hubungan ini telah menguntungkan kedua-dua belah pihak yang mempengaruhi hubungan dua hala dan pembangunan sosial.
“Program pengajian dan pertukaran pelajar menjadi instrumen untuk pertukaran bakat, pembangunan ekonomi dan memupuk persefahaman antara kedua-dua negara,” katanya.
Beliau menambah, UniMAP sendiri mempunyai hampir 60 kakitangan akademik yang bergraduat dari universiti di Jepun.