- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP TANDATANGAN MoU DENGAN LOTUS MFZ
OLeh : Aininulniza Mohd Yusof
KANGAR, 12 JANUARI – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah ke hadapan ke arah perkembangan kemajuan teknologi solar photovoltaic (PV) menerusi kerjasama dengan Lotus MFZ Green Tech (M) Sdn Bhd (LOTUS MFZ).
MOU tersebut ditandatangani oleh UniMAP yang diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Zaliman Sauli manakala LOTUS MFZ diwakili Ketua Pengarah Eksekutif, Asmadi Bin Tu.
Kerjasama yang terjalin antara LOTUS MFZ dan UniMAP dilihat sebagai inisiatif proaktif yang diambil oleh LOTUS MFZ dalam usaha pembangunan dan penyelidikan bidang teknologi hijau.
Sebagai sebuah syarikat solar PV pertama di Perlis, LOTUS MFZ bertekad memperluaskan pemasangan teknologi solar PV dalam menyahut Matlamat Pembangunan Mampan ke-7 iaitu tenaga yang berpatutan dan bersih.
Kerjasama antara kedua-dua pihak tertumpu kepada program pemindahan teknologi dan kebolehpasaran graduan UniMAP. Melalui permintaan pasaran yang tinggi dalam pemasangan sistem Solar PV di Malaysia, peluang ini dimanfaatkan dengan penempatan pelajar latihan industri, penempatan sangkutan industri dan penyelidikan.
Pengambilan graduan UniMAP yang mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam bidang solar menjimatkan kos operasi syarikat, manakala penyelidikan daripada UniMAP membantu kemajuan teknologi system terkehadapan.
Perkongsian itu bakal memberi manfaat kepada kedua-dua pihak yang terlibat, khususnya LOTUS MFZ sebagai syarikat perkhidmatan system solar PV dan UniMAP dalam bidang penyelidikan dan pembangunan.
Akhirnya, perkongsian itu akan membawa kepada peningkatan kemajuan teknologi hijau kepada negara.
Berkongsi hala tuju yang sama dengan LOTUS MFZ, UniMAP berusaha untuk menerokai tujuan yang sama.Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata UniMAP bertekad akan sentiasa berusaha untuk menyumbangkan kepakaran ilmu dan teknologi kepada LOTUS MFZ melalui penyelidikan jangka masa panjang mahupun jangka pendek.
Oleh itu, kedua-dua pihak telah bersetuju mengenai program kebolehpasaran graduan, penyelidikan dan pemindahan maklumat.
Kerjasama itu merupakan batu loncatan kepada kedua-dua pihak ke arah kemajuan teknologi, khususnya dalam teknologi hijau. Lebih banyak kerjasama untuk kemajuan
teknologi dijangka akan dilaksanakan bersama UniMAP pada masa hadapan sebagai satu inisiatif dalam menaikan indek matlamat pembangunan mampan negara ke tahap yang lebih tinggi.