- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
UniMAP SALURKAN SUMBANGAN BANTUAN BANJIR
Oleh : Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 11 Januari - Hanya mengambil masa dua minggu bagi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengumpulkan dana bantuan tunai berjumlah RM10,000 untuk membantu mangsa yang terkesan ekoran banjir yang melanda beberapa negeri pertengahan Disember lalu.
Malah UniMAP juga turut berjaya mengumpulkan RM5,000 sumbangan berbentuk barangan yang diraih hasil sumbangan staf dan pelajar universiti tersebut.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata sumbangan ini akan disalurkan kepada mangsa di Taman Sri Nanding dan Bukit Changgang terletak di Temerloh yang menjadi lokasi angkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam misi ‘Ops Cuci Banjir’ tersebut.
“UniMAP menghantar seramai 20 sukarelawan bagi misi kali ini yang terdiri daripada staf UniMAP yang mempunyai pelbagai kepakaran.
“Selain memberikan sumbangan, misi kali ini berfokus kepada kerja-kerja pembaikan elektrikal dan cucian perumahan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Untuk rekod, UniMAP telah menghantar bantuan banjir pada 21 Disember lalu ke kawasan Lembah Klang sebelum meneruskan misi pasca banjir ke beberapa lokasi di Temerloh.