- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Fazemil
27 PELAJAR MENANG PRK UniMAP
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 13 Januari - Seramai 27 calon pelajar diisytiharkan menang pada Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi pemilihan mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Sesi 2021/2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Perwakilan Mahasiswa (JPPM) sesi 2021/2022, Muhammad Aideit Mohd Annuar Mushadad berkata, seramai lapan calon telah tampil bertanding bagi Konstituensi Umum, manakala 20 calon lagi telah menawarkan diri bertanding bagi Konstituensi Fakulti dan Khas.
“Pada tahun ini ditetapkan 27 kerusi tetapi kita hanya mempertandingkan 26 kerusi sahaja yang terdiri tujuh kerusi adalah bagi Konstituensi Umum dan 17 kerusi bagi Konstituensi Fakulti serta dua kerusi di bawah Konstituensi Khas.
“Satu kerusi bagi Pelajar Kelainan Upaya (OKU) di bawah Konstituensi Khas adalah lantikan terus daripada Naib Canselor manakala dua kerusi bawah konstituensi sama bagi Pusat Perumahan dipertandingkan buat pertama kalinya,” katanya pada pengumuman keputusan PRK UniMAP, semalam.
Ujarnya lagi, tujuh calon yang menang bagi Konstituensi Umum adalah berdasarkan jumlah undian tertinggi dan bakal mengisi jawatan tertinggi MPP UniMAP sesi 2021/2022.
“Bagi Konstituensi Fakulti, 14 calon menang tanpa bertanding bagi mewakili fakulti pengajian mereka iaitu Fakulti Kejuruteraan (FK) Elektrik (2 orang); FK Awam (2); FK Kimia (2); FK Mekanikal (1); FK Sains Gunaan dan Kemanusiaan (1); Pusat Pengajian Pascasiswazah (2); Pelajar Diploma (2); dan Pelajar Antarabangsa (2).
“Manakala dua lagi menang selepas meraih undi yang tertinggi bagi mewakili fakulti mereka iaitu FT Elektronik,” katanya.
Tambahnya, sebanyak 6,715 pelajar atau 51.42 peratus dari 13,059 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing melalui pengundian secara e-voting.