A+ A A-

KARATE-DO UniMAP PERINTIS KEJOHANAN KARATE-DO TERBUKA MALAYSIA

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

KANGAR , 22 Januari 2022 – Selepas dua tahun berturut-turut Kejohanan Karate-do Piala Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak dapat diadakan akibat pandemik COVID-19 , akhirnya tahun ini kejohanan itu berjaya direalisasikan secara bersemuka.

Namun demikian, kejohanan perintis kepada Kejohanan Karate-do Terbuka Malaysia kali ini diadakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat seperti penjarakan sosial, tidak dibenarkan berkumpul secara besar-besaran dan tiada majlis perasmian bersemuka.

 

Jurulatih Karate-do UniMAP Ahmad Tajudin Bahrin berkata seramai 105 peserta terdiri daripada kelab-kelab dan Majlis Sukan Negeri seperti Perak, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Terengganu dan Perlis sendiri.

Ujarnya, sebanyak 40 acara dipertandingkan mengikut kategori usia peserta bermula dari lima tahun hingga 18 tahun ke atas dengan turut disertai atlet Sukan Malaysia (SUKMA) yang menjadikan kejohanan itu sebagai medan pertama percubaan mereka sebelum perlawanan sebenar SUKMA 2022 pada Julai dan Ogos.

“Bagi UniMAP pula, kejohanan ini diadakan bagi mencari dan pemilihan bakat baharu atlet karate-do universiti bagi persediaan menghadapi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) sekaligus menjadi perintis kejohanan terbuka Malaysia pada masa hadapan,” kata beliau ketika ditemui di kejohanan berkenaan yang diadakan di Pusat Transformasi Komuniti (UTC) Kangar, di sini.

Turut hadir ialah Pengarah kejohanan Ruzainah Bastarah.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Prof. Ts. Dr Zaliman Sauli berkata Kelab Karate-do UniMAP mula ditubuhkan pada 2015 dan sukan itu mula bergiat aktif pada 2016.

Ujarnya, pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir menyebabkan semua pihak mencari inisiatif mengadakan kejohanan-kejohanan sukan walaupun memerlukan SOP yang ketat.

“Justeru, saya percaya penganjuran Kejohanan Karate-do Piala Naib Canselor UniMAP 2022 ini menjadi pemangkin semangat kepada atlet-atlet untuk memberi persembahan terbaik sekaligus menyumbang kepada pelapis atlet karate-do negara selepas hanya mampu berlatih secara dalam talian selama dua tahun,” katanya ketika berucap merasmikan kejohanan berkenaan secara dalam talian.