A+ A A-

FESTKAF 2021 SERLAH BAKAT SENI PELAJAR KEJURUTERAAN UniMAP

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA , 30 Januari 2022 – Biarpun sebahagian besar mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan, namun tidak menghalang mereka menyerlahkan bakat seni yang terpendam.

Ini dibuktikan menerusi Festival Kebudayaan Antara Fakulti (FestKAF) 2021 apabila pasukan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) menjadi juara keseluruhan festival berkenaan yang diadakan dalam dua fasa.

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata FestKAF 2021 anjuran Pusat Kebudayaan UniMAP (PKBU) yang berlangsung selama dua hari bermula 29 Januari ini adalah kesinambungan daripada FestKAF fasa pertama yang diadakan pada November tahun lalu.

Ujarnya, FestKAF 2021 fasa pertama telah menyaksikan pertandingan Nyanyian Lagu Irama Malaysia, Dekorasi Kolam, serta Pertandingan Mural diadakan dengan jayanya membabitnya penglibatan pelajar yang berbilang kaum daripada setiap fakulti.

“Bagi fasa kedua ini pula, antara pertandingan yang telah berlangsung dengan jayanya adalah pertandingan Rekacipta Tanglung,Pertandingan Tarian Kreatif Irama Malaysia dan pada malam ini adalah pertandingan akhir Battle of The Band,” kata beliau yang berucap mewakili Naib Canselor merasmikan Majlis Penutup FestKAF 2021, di Dewan Kecemerlangan, di sini.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Kebudayaan (PKBU) UniMAP Tengku Kastriafuddin Shah Tengku Yaakob.

Tambah beliau, bagi Pertandingan Battle of The Band yang merupakan acara kemuncak FestKAF 2021 berjaya didominasi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) apabila dinobatkan sebagai johan manakala Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) di tempat kedua dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) di tempat ketiga.

“FTKE turut menggondol semua kategori persembahan terbaik, vokal terbaik, susunan muzik terbaik, pemuzik terbaik dan anugerah khas juri.

“Selain itu, FTKK yang menjadi juara keseluruhan turut meraih juara perpaduan manakala lagu Kita Bagaikan Bintang, ciptaan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) Ahmad Afiq Syed Ahmad Fauzi terpilih sebagai lagu tema FestKAF,” katanya.

Sempena FestKAF 2021, turut dianugerahkan Anugerah Kenang Budi kepada Prof Madya Dr Salmah Hj Ayob yang merupakan pengarah pertama dan juga pengasas Unit Kebudayaan & Rekreasi UniMAP yang kini dikenali PKBU.

Tagged under: UniMAP,