- Kategori: BERITA - Malay
Naib Canselor UniMAP Beramah Mesra Dengan Peserta ASP di Busan
Busan, 25 Julai 2013 – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jeneral Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin melapangkan masa bagi beramah mesra dengan 21 pelajar yang menyertai Asia Summer Program (ASP) pada satu majlis makan malam tidak formal yang berlangsung di restoran makanan Korea, di sini, malam tadi.
Pertemuan tersebut adalah bagi memberikan sokongan moral kepada semua pelajar UniMAP yang akan membuat persembahan penutup pada majlis perasmian penutup ASP di Dongseo University (DSU) tengah hari nanti.
Menurut Datuk Kamarudin, mereka akan membuat persembahan penutup selepas penyerahan bendera ASP oleh DSU kepada UniMAP yang bakal menjadi tuan rumah ASP 2014 pada pertengahan tahun hadapan.
“Selain itu, pertemuan ini juga adalah bagi mendapatkan maklum balas dan pendapat pelajar mengenai ASP kedua yang sedang berlangsung selama tiga minggu dan bakal berakhir hari ini.
Ini juga adalah untuk memastikan bahawa ASP ketiga anjuran UniMAP nanti adalah yang terbaik dan mempunyai kesenambungan dengan aktiviti ASP anjuran DSU,” katanya.
ASP2013 yang bermula 8 hingga 27 Julai 2013 lalu telah disertai seramai 340 peserta dan 30 tenaga pengajar dari 27 buah universiti adalah program kali kedua selepas pertama kali dianjurkan pada tahun lepas di Universitas Petra Kristen (PCU) Indonesia.
Program ini hasil kerjasama pengasas lima buah universiti dari lima buah negara Asia iaitu UniMAP, Malaysia; Dongseo University, Korea; Petra Christian University, Indonesia; Bangkok University, Thailand dan Josai International University, Jepun.
Bagi Sekretariat ASP, Shafiq Hizwari Md Hashim menyifatkan ASP adalah satu program bagi membina seorang insan yang lebih baik.
“ASP sebenarnya membina identiti seorang insan dan komen positif yang diterima daripada para pelajar ini perlu diambil perhatian agar standard penganjuran UniMAP adalah lebih meningkat dan menjadi penganjuran yang berprestij.
Menurut pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PKK) Komputer dan Perhubungan, Dhurga Vilashiny D/O Nalina Segrem, program ini telahpun memberi peluang kepadanya untuk lebih mengenali budaya dan cara hidup masyarakat luar.
“Program ini adalah program yang sangat bagus dan saya telahpun memahami budaya masyarakat lain, malah layanan yang diterima telah membuatkan kami terasa seperti di tanah air sendiri,” katanya.
Bagi pelajar tahun dua Kejuruteraan Elektronik Industri, Nur Atika Abu Bakar, ASP telah memberikan pengalaman yang terbaik buat dirinya dan melalui program ini beliau telah mendapat ramai kawan dari pelbagai negara.
“Selain itu, program ASP ini juga telah memberi kelebihan bilamana saya telahpun berupaya bertutur dalam bahasa Korea dengan betul,” katanya.
Pada majlis yang sama turut diadakan persembahan ‘Gwiyomi’ dan persembahan menggunakan cawan oleh peserta ASP2013.