A+ A A-

PROJEK HSG 2021 UniMAP BANTU KOMUNITI B40 TERJEJAS PANDEMIK

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 16 Mac - Cabaran baharu kini banyak menguji masyarakat yang terpaksa berhadapan dengan perubahan berlaku akibat pandemik COVID-19, khususnya kesan terhadap sosio ekonomi mereka.

Kos sara hidup yang meningkat juga boleh mengundang implikasi negatif kepada masyarakat terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah sekaligus menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian.

Menyedari hakikat itu, universiti adalah antara institusi yang sering mengambil tanggungjawab dengan tampil berkongsi kepakaran dan inovasi bagi membantu golongan B40.

 

Sehubungan itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) menganjurkan Projek Kerjasama Pembangunan Komuniti dan Pendidikan bagi Keluarga Miskin dan Golongan B40 Pasca Pandemik COVID 19.

Sebanyak lima buah sekolah sekitar Arau dipilih bagi menjalankan projek berkenaan dengan bimbingan ahli akademik dan penyelidik UniMAP menerusi Hasanah Special Grant (HSG) 2020 berjumlah RM119,904.00 yang disalurkan kepada UniMAP.

Ketua Projek, Prof Madya Ir Dr Umi Fazara Md Ali berkata projek berkenaan ialah projek tanaman hidroponik, Kebun Komuniti Cendawan, Future Classroom dan Program Bola Sepak.

Ujarnya, projek hidroponik dijalankan di SK Jelempok dan SK Changkat Jawi manakala bagi Kebun Komuniti Cendawan sebanyak 9000 bongkah cendawan ditempatkan di SK Arau, SMK Tengku Budriah dan SMK Arau yang berjaya menghasilkan 1.2 ton cendawan.

Tambahnya, lebih mengujakan adalah apabila lima pekerja sekolah dan ibu bapa pelajar daripada golongan B40 berjaya mewujudkan tanaman hidroponik di kawasan rumah mereka sendiri sekaligus dapat membantu mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Mereka juga dibayar upah sebanyak RM1000 sebulan selama enam bulan dalam membantu mengusahakan projek berkenaan di sekolah selain hasil tanaman yang diusahakan dapat menambah sumber pendapatan mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

Selain projek hidroponik dan bongkah cendawan itu, UniMAP turut menggerakkan projek Future Classroom iaitu bilik darjah yang dipasang kelengkapan teknologi tinggi bagi memudahkan guru-guru melaksanakan pengajaran secara dalam talian.

Ujar Dr Umi Fazara, kira-kira 200 murid SK Jelempok dari Tahun Satu hingga Enam dapat memanfaatkan bilik berkenaan sekaligus memberi ruang kepada mereka yang tidak mampu memperolehi kemudahan akses komputer tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran secara maya.

“Pandemik sebelum ini memerlukan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dijalankan secara dalam talian, justeru kelengkapan yang disediakan memudahkan proses PdP dapat dijalankan dengan lancar dan boleh digunakan juga pada masa hadapan,” kata beliau.

Dr Umi Fazara berkata dari segi pembangunan emosi dan jasmani pula projek berkenaan turut menganjurkan program bola sepak di SK Jelempok, SK Arau dan SMK Tengku Budriah.

“Pada awalnya latihan dapat diadakan secara fizikal namun apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada awal 2021, latihan dilaksanakan secara dalam talian membabitkan lapan latihan yang diadakan setiap minggu.

“Sambutan terhadap program bola sepak ini amat menggalakkan daripada ibu bapa dalam kalangan B40 kerana bola sepak adalah sukan yang popular tetapi memerlukan banyak kos untuk mengikuti latihannya. Secara tidak langsung ia dapat menonjolkan bakat terpendam pelajar dalam sukan ini,” kata beliau.

Secara keseluruhannya, hampir 450 pelajar sekolah, pelajar Orang Kurang Upaya (OKU), asnaf, dan belia dalam kategori B40 memperolehi manfaat menerusi projek ini selari dengan hasrat UniMAP dalam menjayakan agenda UniMAP for Society sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup komuniti.