A+ A A-

AHLI AKADEMIK MTUN PERTAMA TERIMA ANUGERAH AKADEMIK NEGARA

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

KANGAR, 25 Mac 2022 – Ahli akademik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang juga staf akademik pertama UniMAP serta universiti di bawah Rangkaian Universiti-universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara  (AAN) ke-14.

Prof.Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh menerima anugerah berkenaan dalam kategori Ahli Akademik Harapan yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Majlis AAN, di Putrajaya, semalam.

Beliau membawa pulang wang tunai RM50,000 bersama sijil dan trofi.

 

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dato’ Dr Husaini Omar.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr Zaliman Sauli berkata penganugerahan berkenaan merupakan pertama yang diterima oleh ahli akademik dari UniMAP serta yang pertama dari universiti dibawah Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang terdiri daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2006.

“Anugerah Akademik Negara (AAN) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi ini merupakan satu wadah bagi mengiktiraf dan menyanjungi ahli akademik negara yang telah mengharumkan nama Malaysia dalam pelbagai ilmu berdasarkan sumbangan dalam pengajaran, pemindahan dan pengembangan ilmu, penemuan ilmu serta penulisan dan penerbitan ilmiah.

“Penganugerahan ini sekaligus membuktikan bahawa ahli akademik UniMAP merupakan antara yang terbilang serta diiktiraf negara selaras matlamat universiti bagi memacu kecemerlangan di dalam akademik, penyelidikan, penemuan ilmu serta komuniti,” kata beliau dalam satu kenyataan di majlis berprestij berkenaan yang diadakan di Hotel Sama-Sama di Putrajaya.

Mengulas lanjut mengenai Dr Mohd Arif Anuar,  Prof Dr Zaliman berkata beliau adalah ahli akademik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) serta felo penyelidik Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech),UniMAP yang aktif serta telah menerima pelbagai pengiktirafan di dalam dan luar negara termasuk Top Research Scientist Malaysia 2020, Outstanding Scientist 2018, Outstanding Male Champion and Ambassador Award, Nobel Inventor Order of Merit dan pelbagai lagi.

Tambahnya, Dr Arif Anuar berkelulusan doktor falsafah (PhD) dalam bidang Kejuruteraan Bahan daripada The University of Queensland, Australia  juga mempunyai kelulusan dua ijazah sarjana iaitu Sarjana Kejuruteraan Mekanikal dan Sarjana Pengurusan Pendtadbiran selain mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.

“Beliau telah memulakan kerjaya sebagai Jurutera Analisis Kegagalan dari 2007-2010 di Intel Malaysia dan kemudian sebagai ahli akademik di UniMAP bermula 2010 sehingga kini. Beliau adalah seorang penyelidik muda yang aktif di dalam dan luar negara yang mempunyai kepakaran dalam Kejuruteraan Bahan khususnya dalam pembangunan aloi.

“Selain daripada itu, beliau merupakan segelintir penyelidik Malaysia yang mempunyai kepakaran bagi perincian bahan menggunakan synchrotron iaitu fasiliti pemecut zarah di beberapa synchrotron terkemuka luar negara seperti SPring-8 Synchrotron Japan, Australian Synchrotron serta Thailand Synchrotron,” katanya.

Dr Arif Anuar juga sebelum ini juga memegang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Dekan Akademik FTKK UniMAP, Timbalan Dekan Akademik dan Penyelidikan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP, Timbalan Dekan Pusat Pengurusan Penyelidikan UniMAP serta Presiden Tin Solder Technology Research Malaysia-Tin Industry (R&D) Board itu.

Antara kategori anugerah dibawah Anugerah Akademik Negara adalah Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Ahli Akademik Harapan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Pengajaran serta Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

Selain Dr Arif Anuar, Profesor Datin Paduka Dr Khatijah Binti Mohamad Yusoff dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Profesor Emerita Datuk Dr Asma Binti Ismail dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga antara tokoh hebat yang menerima AAN yang membawa pulang wang tunai RM200,000 bersama sijil dan trofi.

Tagged under: UniMAP, AAN,