A+ A A-

ATLET UniMAP CIPTA KEJUTAN RAIH EMAS OLAHRAGA IPT

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

KANGAR , 24 Mac 2022 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta kejutan apabila meraih pingat emas acara 200 meter menerusi Mohamad Raimi Mustaffa Kamal sekaligus menumpaskan atlet-atlet elit kebangsaan di Kejohanan Olahraga Institut Pengajian Tinggi (IPT) Sirkit 1 2022, baru-baru ini.

Kejuaraan pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) UniMAP itu dalam acara berkenaan dengan catatan masa 22.2s manakala atlet Universiti Putra Malaysia (UPM) Muhammad Saiful Safwan Saifuddin memperoleh perak dengan catatan masa 22.24s dan pingat gangsa buat Muhammad Aqil Yasmin dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan catatan masa 22.31s.

 

Mohamad Raimi berkata walaupun pesaingnya adalah daripada kalangan atlet kebangsaan namun tidak mematahkan semangat beliau untuk melakukan yang terbaik berbekalkan semangat jurulatih dan keluarga.

“Sebelum ini saya dan rakan-rakan atlet berdepan cabaran seperti tidak dapat menggunakan trek untuk menjalani latihan berikutan pandemik selain saya juga diuji dengan COVID-19 menyebabkan saya terpaksa berkuarantin selama 14 hari dan hanya mampu menjalani latihan ringan sahaja di rumah.

“Saya juga hanya sempat membuat persiapan dalam lima hari sahaja berikutan kecederaan ‘hamstring’ tetapi saya percaya dapat melakukannya dengan baik sekaligus mampu menyumbang pingat emas kepada universiti,” ujarnya.

Selain Mohamad Raimi, dua emas UniMAP lagi disumbangkan oleh Teoh Kim Chyi menerusi acara 800 meter wanita dan acara 400 meter wanita.

Tambah Mohamad Raimi, beliau meletakkan sasaran untuk melayakkan diri ke Sukan Universiti Dunia di China pada Jun ini serta Sukan Asia, justeru beliau akan memberi tumpuan terhadap program latihan yang diberikan jurulatihnya, Muhammad Idris Zakaria yang juga kakitangan UniMAP.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr Zaliman Sauli berkata pasukan UniMAP berjaya membawa pulang tiga emas, dua perak dan satu gangsa sekaligus meletakkan UniMAP di kedudukan ke-3 keseluruhan kejohanan berkenaan yang diadakan di Kompleks Sukan Negeri Johor.

Ujarnya, prestasi pasukan olahraga UniMAP amat membanggakan UniMAP dan berharap momentum berkenaan dikekalkan sekaligus mendominasi kejohanan berkenaan di masa akan datang.

“Saya percaya walaupun bukan dalam kalangan atlet kebangsaan, namun hasil latihan yang baik daripada jurulatih berpengalaman UniMAP dapat mencipta lebih banyak kejutan selepas ini,” kata beliau.

Kejohanan Olahraga IPT 2022 Sirkit yang bermula Jumaat lalu sehingga 20 Mac itu menyaksikan seramai 244 atlet yang mewakili 26 IPT menyertai 25 acara dipertandingkan.

Tagged under: UniMAP,