Logo

LOKAKARYA LITERASI DAN NUMERASI UniMAP-HASANAH BANTU GURU BIMBING MURID TERCICIR 3M

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

KANGAR, 28 Mac 2022 – Berikutan cabaran pandemik sebelum ini, tidak semua murid sekolah dapat mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdPR) sekaligus menimbulkan isu yang membimbangkan khususnya keciciran murid seperti masalah buta huruf atau murid yang tidak dapat menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) pada peringkat umur sepatutnya.

Sehubungan itu, satu lokakarya dianjurkan di bawah Projek Pemulihan Literasi dan Numerasi Tahap 1 bagi Penduduk Miskin, B40 dan Golongan Terkesan Pascapandemik COVID-19 di Perlis iaitu Pengamalan Modul Literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Numerasi: Hasanah Special Grant (HSG) 2021-2022 di bawah seliaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui kerjasama pintar bersama dengan Yayasan Hasanah, Weser Solutions Sdn. Bhd, dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN).

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail berkata projek berkenaan adalah selari dengan agenda UniMAP for Society yang sentiasa cakna dengan pembangunan sosial dan sentiasa komited dengan program-program pembangunan komuniti di samping turut berkongsi kepakaran dalam menjayakan sesuatu program.

Ujarnya, pasukan UniMAP iaitu Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Pusat Sains Liberal dan Institut Matematik Kejuruteraan (IMK) UniMAP yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Ir. Umi Fazara Mohd Ali bertanggungjawab dalam bidang pemerkasaan pendidikan dengan membangunkan modul Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

“JPN Perlis pula berperanan mengenalpasti murid-murid yang memerlukan pemulihan Literasi dan Numerasi seluruh Perlis selain pembangunan modul dan latihan kepada mentor termasuk 140 guru-guru sekolah rendah di negeri ini,” katanya ketika berucap di Bengkel Pengamalan Modul Literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Numerasi: HSG 2021-2022, di sini.

Turut hadir ialah Ketua Pendidikan dan Biasiswa Yayasan Hasanah Dr Nur Anuar Abdul Muthalib, Puan Shahida Basir Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu Sektor Pembelajaran JPN dan Prof Madya Dr Ir Umi Fazara Md Ali.

Tambah beliau, penguasaan literasi dan numerasi ini merupakan kemahiran asas yang sangat penting agar murid-murid celik huruf serta nombor seterusnya berjaya dalam pendidikan.

“Kita yakin dan percaya bahawa projek ini dapat melahirkan murid-murid yang berketrampilan dan berani kehadapan melalui aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan sedikit masa lagi contohnya aktiviti dan pertandingan read to speak, bijak matematik,penulisan cerita pendek, role play dan sebagainya.

“Justeru pada hari ini guru-guru pemulihan akan diberi pendedahan tentang perjalanan projek, modul yang telah disediakan serta amalan terbaik untuk menyampaikan modul tersebut kepada kira-kira 2,000 pelajar B40 yang sebelum ini tercicir,” kata beliau.

Terdahulu, Dr Nur Anuar berkata sebagai organisasi menyediakan geran, Hasanah amat mementingkan perbelanjaan secara berhemah dalam usaha memudahkan transformasi ekosistem, bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, menerapkan semangat advokasi dan membangunkan kapasiti dalam lima bidang tumpuan utama: Pendidikan; Pembangunan Komuniti; Alam Sekitar; Seni dan Ruang Awam; dan Pengetahuan.

“Secara kolektif dan kolaboratif, Hasanah berharap dapat mewujudkan perubahan sosial dan pembaharuan masyarakat untuk rakyat Malaysia, ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Tahun 2022 dan tahun-tahun yang mendatang akan terus memberikan cabaran dari pelbagai sudut pendidikan justeru, kita perlu memainkan peranan lebih berkesan dan memberi perhatian khusus dalam membantu murid agar mereka tidak tercicir dalam Pendidikan akibat pandemik COVID-19,” kata beliau.

Sementara itu seorang guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi, Farina Amron berkata lokakarya berkenaan sangat sesuai bagi membantu murid-murid yang tercicir dalam pelajaran akibat tiada gajet dan ibu bapa bekerja sepanjang pandemik sebelum ini.


Modul yang dibangunkan juga memberi kemudahan kepada guru-guru untuk membimbing murid-murid menguasai 3M dengan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui di sini.

Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.