A+ A A-

UEPC PROMOSI SUKAN BERKUDA WARGA UniMAP

KANGAR, 28 Februari 2022 – Sukan memanah dan berkuda semakin mendapat tempat di negara ini, malah ia turut berpotensi untuk mengharumkan nama Malaysia berikutan prestasi atlet negara yang mencatatkan prestasi cemerlang pada kejohanan antarabangsa.

Bagi memberi sokongan terhadap sukan itu, Universiti Malaysia Perlis Equestrian Club (UEPC) menganjurkan Pengenalan Asas Berkuda dan Memanah yang diadakan di MS Stable Sidam kiri, Padang Serai , Kedah, pada 19 Februari baru-baru ini.

 Penasihat UEPC, Najuwa Mohd Nasir berkata menyedari potensi sukan berkenaan mendorong UEPC mempromosikan sukan itu di peringkat universiti walaupun pelbagai cabaran dari segi peruntukan dan kekangan bagi melaksanakan program berkaitan sukan itu.

“Oleh itu, sukan berkuda bertaraf dunia ini wajar diangkat kembali dan diterapkan di kalangan pelajar dan juga staf UniMAP kerana ia tidak harus dianggap untuk golongan elit sahaja. Secara tidak langsung, UniMAP mampu melahirkan atlet sukan berkuda jika sukan ini dipandang serius dan mendapat sokongan pelbagai pihak khususnya Bahagian Hal Ehwal Pelajar UniMAP dan juga warga UniMAP secara amnya.

“UEPC sendiri juga akan cuba yang terbaik untuk mempromosikan sukan berkuda di UniMAP walaupun terdapat pelbagai cabaran dan berharap pihak universiti dapat memberi sokongan penuh terhadap usaha kelab ini dalam menggalakkan lebih ramai penglibatan warga UniMAP dalam sukan berkuda,” kata beliau yang juga pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM).

Turut hadir ke program berkenaan ialah jurulatih berkuda Rameshwari, jurulatih memanah Saharuddin Abdullah , Presiden Kelab iaitu Muhammad Muzakkir Bin Hasanar Kunju yang juga pelajar Fakulti Sains Kejuruteraan Kimia (FTKK).

Tambah beliau, program yang telah berlangsung selama satu hari tersebut mendapat sambutan yang cukup baik oleh barisan staf akademik dan pelajar UniMAP serta sokongan daripada pihak pengurusan aktiviti pelajar UniMAP.

Ujarnya, para peserta didedahkan kepada pengenalan asas sukan berkuda dan memanah, mengenal peralatan sebelum menunggang dan memanah, demo dan praktikal pemasangan alatan menunggang kuda, grooming, dan peserta diberi latihan menunggang kuda dan memanah melalui cara yang betul.

“Hasil daripada program tersebut, semua peserta telah mendapat manfaat yang cukup besar sehingga mampu mengendalikan kuda ketika menunggang dengan cukup baik walaupun pengalaman pertama kali. Di samping itu, peserta dapat menguji kemahiran memanah yang telah dipelajari bersama jurulatih di awal program.

“Walaupun sukan ini belum begitu popular di beberapa universiti di utara, sambutan pada peringkat awal oleh para peserta dari UniMAP amat menggalakkan. Sukan Berkuda ini mampu meningkatkan penyertaan sukan di kalangan pelajar di peringkat universiti dan juga antarabangsa. Sekaligus, mengharumkan nama Universiti Malaysia Perlis sebagai universiti yang memartabatkan sukan berkuda bertaraf dunia,” kata beliau.