A+ A A-

SISTEM AL-QURAN DIGITAL TANPA WAYAR UniMAP MUDAHKAN IMAM SOLAT TARAWIH

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

KANGAR, 5 April 2022 – Cetusan idea penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencipta sistem Al-Quran Digital Kawalan Tanpa Wayar memudahkan imam membaca ayat lebih panjang dalam solat sunat atau solat tarawih.

Sistem yang dibangunkan Prof. Ir. Dr Anuar Mat Safar yang juga pengerusi Masjid Al-Arifin Padang Katong itu menjadikan kariah berkenaan yang pertama kali menggunakannya bagi solat tarawih pada Ramadan kali ini.

Dekan FTKEN Prof Madya Ts. Dr Azremi Abdullah Al-Hadi berkata projek itu adalah hasil kerjasama masjid itu, FTKEN, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

 

Ujarnya, dengan adanya sistem berkenaan Imam 1 masjid itu, Ustaz Muhammad Khidhir Abdul Ghani boleh membaca ayat yang lebih panjang dalam solat sunat dan boleh menggerakkan mukasurat seterusnya dalam solat tanpa memerlukan pergerakan besar.

“Menerusi sistem ini, imam akan membaca surah dalam Al-Quran melalui Quran digital yang dipancarkan di skrin dan boleh dikawal pergerakan mukasurat menggunakan alat yang dipakai di pergelangan tangan (wrist band),” jelasnya.

Antara staf dari FTKEN dan FTKM yang terlibat adalah Dr. Iszaidy Ismail, Dr. Ilman Jais, Ir. Dr. Wan Mohd Faizal Wan Abd Rahman, En Mohd Haidiezul Jamal Ab Hadi dan En Mohd Hazwan Mohd Hanid.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata UniMAP komited menghasilkan produk dan perkhidmatan yang boleh membantu komuniti setempat dalam jangka masa panjang termasuk sistem berkenaan.

Katanya, sistem itu juga berpotensi untuk dikomersialkan dan digunakan di masjid, surau bahkan juga boleh digunapakai untuk kegunaan solat di rumah.

Pendek kata, ia juga selari dan bersesuaian dengan halatuju Perlis Go Digital sekaligus memberi kefahaman kepada masyarakat tentang budaya digital,” kata beliau, di sini hari ini.

Tagged under: UniMAP,