A+ A A-

JKes UniMAP GUNA TEKNOLOGI PESAWAT TANPA PEMANDU PANTAU KESELAMATAN KAMPUS

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

Pauh Putra, 28 April – Sebagai alternatif tambahan bagi meningkatkan kawalan keselamatan dalam kampus, Jabatan Keselamatan (JKes) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggunakan teknologi Pesawat Udara Tanpa Pemandu (dron).

Alternatif berkenaan adalah selaras dengan hasrat universiti untuk memastikan lapan teras UniMAP termasuk Pemantapan Infrastruktur dapat dicapai oleh semua pihak berkepentingan sekurang-kurangnya sehingga 2025.

 

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata sudah tiba masanya JKes UniMAP menggunakan teknologi baharu bagi memantau keselamatan universiti terutama sudah hampir 100% pelajar sudah kembali ke kampus bagi mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Tambah beliau, teknologi yang ada pada dron itu sangat sesuai untuk operasi meninjau dan merakam visual dengan pergerakan yang dikenalpasti akan disalurkan terus ke peranti mudah alih yang disediakan.

“Dengan adanya teknologi dron ini, JKes UniMAP telah mensasarkan 50% daripada Kawasan kampus Alam Pauh Putra sebagai lokasi utama kawalan bagi tahun 2022,” kata beliau selepas sesi penyerahan dron berkenaan kepada Pengarah JKes UniMAP, Mustaffa Ismail di pintu masuk utama Kampus Alam UniMAP, di sini.

Turut hadir barisan pengurusan tertinggi UniMAP serta anggota JKes bertugas.

Terdahulu, Prof Dr Zaliman turut melancarkan program Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat UniMAP yang juga merupakan inisiatif utama Jabatan Keselamatan bagi membantu warga UniMAP agar lebih berwaspada dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas agar perjalanan ke destinasi lebih selamat terutamanya bagi staf pada bulan perayaan.

Program berkenaan merupakan anjuran JKes UniMAP bersama Kor SUKSIS UniMAP dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis dan Jabatan Pegangkutan Jalan (JPJ) Perlis.