A+ A A-

‘RAYA TERKEJUT’ UniMAP MERIAH

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 4 Mei - Walaupun dalam suasana ‘Raya Terkejut’ yang disifatkan oleh majoriti warga net ekoran pengumuman hari raya Aidilfitri yang disambut awal sehari, tradisi Majlis Sambutan Hari Raya anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tetap meriah apabila meraikan hampir 60 pelajar dan staf yang tidak pulang ke kampung halaman di kampus tersebut, semalam.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, majlis yang dirancang pada raya pertama itu terpaksa diadakan lewat sehari berikutan perubahan tarikh sambutan Aidilfitri tersebut.

 

“Walaupun masing-masing dikejutkan dengan tarikh hari raya yang awal sehari dari yang dijadualkan, pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP tetap bersikap proaktif dalam menyediakan bekalan makanan berupa roti dan air mineral sementara menunggu perkhidmatan bas yang hanya bermula jam 10:30 pagi.

“Mereka komited menjalankan tugas apabila memilih untuk beraya di kampus, di samping menemani sahabat-sahabat mereka yang tidak berkesempatan untuk pulang disebabkan jarak yang jauh dan pelbagai kekangan lain,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.

Tambah Prof. Dr. Zaliman lagi, majlis ini sebenarnya adalah untuk meneruskan tradisi program beraya di UniMAP bagi meraikan pelajar dan staf yang tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

UniMAP sentiasa meraikan staf dan pelajar yang tidak pulang berhari raya ke kampung halaman supaya semangat aidilfitri itu boleh dirasai oleh semua lapisan masyarakat walaupun tanpa insan tersayang di sisi.

“Saya difahamkan terdapat lebih kurang 50-60 pelajar yang telah mengisi Google Form bagi memaklumkan keberadaan mereka di kampus pada Syawal dan ini adalah penting untuk pihak yang bertanggungjawab iaitu MPP untuk memantau pergerakan dan keberadaan pelajar yang berada di kampus,” katanya.

Antara pelajar dan staf yang hadir memeriahkan majlis ini adalah dari Sabah dan Sarawak serta pelajar antarabangsa dari pelbagai negara antaranya Yemen, Jordan, Iraq dan banyak lagi.