A+ A A-

UniMAP SUMBANG 4 INOVASI TEKNOLOGI RUMAH IBADAT HIJAU

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

KANGAR, 13 Mei – Seiring dengan kemajuan teknologi pada hari ini terutamanya dalam menggunapakai keupayaan teknologi hijau, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) memanfaatkan kepakaran yang dimiliki penyelidiknya untuk komuniti.

UniMAP menerusi Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) menyumbang empat inovasi teknologi yang dibangunkan kepada Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Kuala Perlis.

Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata inovasi teknologi yang disumbangkan kepada masjid itu dengan diselaraskan oleh Pusat Pengurusan Tenaga dan Kampus Lestari (COSCEM) UniMAP ialah Sistem Masjid Pintar, Solar Powered Smart Waste Collection System, Al-Quran Digital dan Rainwater Harvesting System.

Ujar beliau, Sistem Masjid Pintar ialah aplikasi yang berfungsi untuk mengawal peralatan elektrik utama masjid seperti lampu, kipas dan penghawa dingin menggunakan capaian Tablet.

 

“Melalui aplikasi ini, pihak masjid dapat memantau penggunaan alatan-alatan elektrik di masjid dengan lebih mudah, efisien dan seterusnya dapat menyumbang kepada penjimatan penggunaan tenaga elektrik,” kata beliau ketika Majlis Perasmian Masjid Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena Karnival dan Kesedaran Kepentingan Kelestarian Alam Sekitar Peringkat Masjid di Negeri Perlis.

Turut berkenan berangkat hadir ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Green Technology & Climate Change Corporation (MGTS) Ts Shamsul Bahar Mohd Nor, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana Perlis Ruzaini Rais, Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli.

Masjid Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang telah terpilih dalam program perintis Rumah Ibadat Hijau yang dijalankan MGTC iaitu agensi dibawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).

Melalui program ini, bangunan masjid akan dilengkapi dengan elemen teknologi hijau, yang akan menjadikannya bangunan cekap tenaga, cekap air, mesra alam sekitar dan juga rendah karbon.

Tambah Prof Dr Zaliman , “Solar Powered Smart Waste Collection System” pula ialah aplikasi yang memudahkan pemantauan secara dalam talian tahap penggunaan stesen kitar semula yang memudahkan pihak masjid memaklumkan kepada pihak kontraktor untuk mengambil tindakan sekiranya kapasiti sisa kitar semula telah mencapai tahap maksimum.

Sistem Al-Quran Digital ialah aplikasi yang memudahkan para imam ketika solat jemaah mengawal Al-Quran Digital yang dipancarkan di skrin melalui alat kawalan yang dipakai di tangan manakala Rainwater Harvesting System ialah sistem yang akan mengumpulkan air hujan bagi kegunaan siraman tanaman dan pokok bunga di kawasan masjid,” katanya memberi penerangan serba ringkas empat inovasi teknologi berkenaan.

Dalam majlis sama, Prof Dr Zaliman turut menyampaikan replika simbolik sumbangan empat inovasi teknologi kepada pengerusi masjid itu, Prof Madya Dr Muhammad Rozaimee Ramle disaksikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

 

 

 

Tagged under: UniMAP,