A+ A A-

UniMAP MENANG ITEX GOLDEN AWARD 2022, GONDOL EMAS TERTINGGI

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

Kuala Lumpur, 27 Mei – Seramai 30 penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sekali lagi melakar sejarah dan kecemerlangan apabila meraih 100 peratus pingat pada 33rd International, Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX 2022).

Pameran anjuran C.I.S Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama Malaysian Invention and Design Society (MINDS) itu yang telah berlangsung pada 26 hingga 27 Mei 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof Ir Dr Rizalafande Che Ismail berkata atas kejayaan berkenaan, UniMAP berjaya meraih ITEX Golden Award 2022 kerana memenangi pingat Emas paling tinggi dalam ITEX 2022 iaitu 21 pingat emas, lapan perak dan satu gangsa serta dua anugerah khas.

Ujarnya, lebih membanggakan apabila produk pingat Emas yang dimenangi oleh Mohd Rizal Manan dari Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sukan (SERC), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) berjaya memenangi Asean Invention Excellence Award menerusi produk penyelidikan Braille Code-To-Speech Translation Method Using Force Sensitive Resistance Sensors.

“Selain itu, Ir. Dr. Nor Hanisah Baharudin dari SERC juga telah terpilih memenangi Anugerah Khas daripada Indonesian Invention & Innovation Promotion Association (INNOPA) menerusi produk penyelidikan Seamless Control of Grid-Connected Solar PV System for Smart City, “katanya dalam satu kenyataan di sini selepas Majlis Malam Budaya Cipta ITEX 2022.

Tambah beliau, pemilihan penyelidik untuk menyertai ITEX 2022 pada kali ini telah disaring di peringkat UniMAP berdasarkan pencapaian pada Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UniMAP (EREKA) anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (CIC) UniMAP.

“Kejayaan cemerlang itu telah membuktikan kekuatan dan kualiti produk penyelidikan yang ditonjolkan oleh penyelidik UniMAP semakin menunjukkan peningkatan dalam kualiti dan memberi impak yang kuat kepada masyarakat dan negara.Ia juga pastinya merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan di UniMAP.

ITEX 2022 kali ini mempamerkan lebih 500 penyelidikan oleh penyelidik universiti, pusat penyelidikan dalam dan luar Negara, sekolah rendah dan menengah, termasuklah sektor swasta dari lebih 20 negara antaranya Indonesia, Taiwan, Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, Korea dan Malaysia.

 

 

 

 

Tagged under: UniMAP, ITEX,