Logo

PEROLEHAN GERAN CEGeoGTech MENINGKAT TIGA KALI GANDA

Oleh : Utusan Malaysia & Aininulniza Mohd Yusof

KANGAR, 19 Jun 2022 - Institut-institut pengajian tinggi di negara ini termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berdepan cabaran sangat hebat dalam tempoh pandemik Covid-19 sehingga menyebabkan universiti beroperasi secara terhad termasuk dalam aktiviti penyelidikan.

Bagaimanapun penyelidik-penyelidik Center of Excellence Geopolymer & Green Technology (CEGeoGTech) terus berusaha dengan tekun dalam bidang penyelidikan sepanjang 2021 dan menunjukkan pencapaian baik apabila mencatatkan peningkatan membanggakan.

 

Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian tersebut antaranya dalam aspek perolehan geran apabila CEGeoGTech memperoleh geran berjumlah hampir RM6.9 juta bagi tahun 2021.

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding 2020 iaitu sebanyak RM2.6 juta.

Jelasnya, sebahagian daripada peningkatan tersebut disumbangkan oleh geran antarabangsa yang berjumlah RM1.47 juta sekali gus meningkat 100 peratus berbanding 2020 iaitu sekitar RM718,100.

“Selain itu, terdapat juga peningkatan-peningkatan lain dapat dilihat berjaya dicapai oleh penyelidik CEGeoGTech dalam bidang penerbitan, anugerah-anugerah penyelidikan, pemfailan paten dan sebagainya.

“Pencapaian ini menunjukkan dalam bidang penyelidikan sekiranya kita cakna dan kreatif, tidak mustahil untuk kita meningkatkan prestasi penyelidikan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan CEGeoGTech 2021 di Hotel Seri Malaysia.

Selain penyelidik, Zaliman turut menyampaikan Anugerah Khas Media CEGeoGTech kepada Utusan Malaysia, New Straits Times Press (NSTP), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Suara Merdeka kerana mencatatkan liputan terbanyak penyelidikan UniMAP.

Tambah Zaliman, CEGeoGTech dianugerahkan sebagai sebuah Center of Excellence bertaraf enam bintang bagi University Research Assessment (UniRA) untuk aktiviti-aktiviti penyelidikan pada tahun lalu.

Sementara itu, beliau berharap penganugerahan pada majlis berkenaan dapat menyuntik lagi semangat penyelidik-penyelidik CEGeoGTech untuk mengekalkan kecemerlangan sekali gus mengangkat nama universiti di persada negara dan antarabangsa.

 

Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.