A+ A A-

UniMAP DIPILIH SEBAGAI SEKRETARIAT TETAP MAJLIS BERSAMA KESELAMATAN & KESIHATAN PEKERJAAN IPT / IPP MALAYSIA

Oleh : Mohd Khairul Effendi Che Wan & Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA 23 Jun -  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diberi kepercayaan sebagai sekretariat tetap Majlis Bersama Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Institusi Pengajian Tinggi/Institut Penyelidikan dan Pembangunan (MBKKP IPT/IPP) Malaysia bagi tempoh lima tahun bermula 2022.

Pemilihan dibuat selepas mendapat persetujuan pada mesyuarat kali ke-34 yang diadakan semalam di Bilik Mesyuarat Senat, Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.

 

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail berkata, MBKKP dapat menyumbang idea dan input kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi berkaitan pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi memastikan penambahbaikan berterusan sentiasa dilakukan.

Ujarnya, platform MBKKP juga harus digunakan sebaiknya dalam membantu antara satu sama lain di antara universiti dan agensi yang menjalankan penyelidikan bagi menyumbang ke arah pembudayaan KKP terutamanya selepas dunia mengharungi fasa pandemik.

“Ahli-ahli MBKKP mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan dan sangat diperlukan untuk kita mengharungi perubahan persekitaran global yang lebih pantas, mencabar dan  ketidak-tentuan dalam menguruskan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Serah Tugas Sekretariat Tetap yang sebelum ini telah diwakili oleh Universiti Sains Malaysia (USM) kepada UniMAP.

Penyerahan dibuat oleh wakil USM, Mohd Hafizul Mohd Arop  kepada  Pengarah Pusat Pengurusan Keselamatan Kesihatan & Persekitaran Pekerjaan (COSHE) UniMAP Norazam Abdul Rashid UniMAP sambil disaksikan oleh Dr. Rizalafande.

Sebelum itu, ahli-ahli MBKKP turut mendengar taklimat berkaitan OSHMP daripada Timbalan Setiausaha Bahagian Penyelidikan & PPRN, Kementerian Pengajian Tinggi, Dr. Wan Nor Aishah Wan Omar.

Sehingga kini, sebanyak 20 Universiti Awam  dan  17 Universiti Swasta serta 13 Agensi Penyelidikan  telah menganggotai majlis yang telah ditubuhkan sejak 2003.