A+ A A-

BADAN BERUNIFORM UniMAP LAHIRKAN GRADUAN BERKETRAMPILAN

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 26 Jun -Ko-kurikulum yang diperkenalkan dalam sistem pendidikan negara merupakan salah satu cabang bagi melahirkan Graduan Holistik, bercirikan Keusahawanan dan Seimbang (Holistic, Entrepreneurial and Balanced Graduated) yang mampu menyumbang kepada Agenda Pembangunan Negara dan Daya Saing Industri Negara terutamanya di peringkat nasional dan antarabangsa.

Terdapat lapan teras aktiviti yang ditawarkan untuk kursus ko-kurikulum iaitu Teras Kepimpinan, Kebudayaan, Inovasi, Kesukarelawan, Keusahawan, Pengucapan Awam, Sukan dan Teras Kemasyarakatan.

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sentiasa memberi penekanan terhadap kualiti dan profesionalisme kepada mahasiswanya melalui kursus ko-kurikulum yang ditawarkan bagi memenuhi kehendak dan fungsi ko-kurikulum.

Kursus-kursus yang ditawarkan juga menggunakan pendekatan kerjasama strategik lautan biru (National Blue Ocean Strategy) dimana UniMAP, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), badan-badan beruniform kerajaan lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan lain-lain lagi dapat bekerjasama bagi mengadakan latihan bersepadu.

 

Bagi mahasiswa tahun Satu UniMAP, mereka diwajibkan menganggotai badan beruniform sekurang-kurangnya satu semester mengikut badan beruniform yang ditawarkan diikuti kursus ko-kurikulum lain bagi memenuhi syarat bergraduat universiti.

Merealisasikan hasrat itu, Pusat Kokurikulum UniMAP sangat proaktif dalam menjana modal insan yang berkualiti terutamanya penglibatan pelajar dalam University Community Engagement (UCE) (Program Jaringan Universiti-Masyarakat) iaitu satu program usahasama antara universiti dengan komuniti.

Justeru pada 26 Jun 2022 , Ko-kurikulum Khidmat masyarakat mengadakan program Jalinan Ukhuwah Kampung Seberang Ramai di Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis dan Kokurikulum Tajwid menganjurkan Program Ziarah Kasih Rumah Kanak-Kanak Arau Perlis pada 2 Julai 2022.

Program itu melibatkan kerjasama antara Universiti dengan masyarakat tempatan dan apa yang lebih penting ialah pelajar-pelajar diberi pendedahan dan dilatih mempraktik nilai-nilai kreativiti, kolaborasi, pemikiran kritikal, berdaya tahan, dan berempati yang boleh mereka gunakan apabila berada di dalam dunia pekerjaan kelak.

Malah, baru-baru ini UniMAP turut mengadakan Majlis Perbarisan Penutup Latihan Tahunan Badan Beruniform UniMAP 2022.

Sempena majlis berkenaan turut diadakan persembahan daripada Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) UniMAP iaitu Peperangan Operations in Bulit-Up Areas (OBUA) yang bertujuan meningkatkan kemahiran pertempuran bandar di samping menunjukkan teknik-teknik mengendalikan senjata di dalam bangunan dan kawasan yang sempit.

Sementara itu, seorang ahli Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Nur Fitri Rahman berkata dia menyertai BSMM kerana ingin mengetahui dan mendalami cara memberi bantuan kecemasan dengan betul.

Katanya, sebelum ini dia sering menyertai badan beruniform yang lasak seperti kadet polis dan kadet koreksional semasa di bangku sekolah menengah justeru ingin mencuba badan beruniform yang berbeza iaitu BSMM.

“Bukan itu sahaja saya juga dapat mengenali rakan-rakan berbangsa Cina yang kebanyakan menyertai BSMM sekaligus memberi peluang kepadanya mempelajari bahasa mereka yang secara tidak langsung merapatkan ukhuwah sesama kami,” katanya yang juga mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu.

Bagi seorang anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor SUKSIS) UniMAP,  Muhammad Alif Zuhaili Shafarin berkata dengan menyertai badan beruniform berkenaan dapat menyuntik semangat patriotik dalam diri sekaligus memperolehi nilai tambah kepadanya apabila bergraduat kelak.

“Saya merasakan jiwa saya kosong jika tidak menyertai mana-mana badan beruniform justeru saya mengambil peluang ketika belajar di UniMAP ini untuk bergiat aktif dengan menyertai SUKSIS.

“Lebih menarik, saya dapat menimba pengalaman menggunakan senjata api serta dapat mengenali lebih dekat Ketua Polis Perlis selain berada dalam lingkungan rakan-rakan yang sentiasa mengutamakan disiplin walaupun berbeza bangsa dan agama,” katanya yang merupakan pelajar Semester Satu Kejuruteraan Mekatronik UniMAP.

Tidak dinafikan lagi, melalui Kokurikulum Badan Beruniform mampu memberi penekanan untuk pelajar mengimbangi antara ilmu dan akhlak yang diperlukan dalam diri. Bagi melahirkan pelajar yang seimbang, mereka perlu diterapkan dengan nilai etika & kerohanian, kemahiran memimpin serta identiti nasional.

Melalui etika dan kerohanian, mahasiswa perlu bermoral dan mempunyai kerohanian yang mantap, penyayang dan prihatin. Kemahiran memimpin memerlukan mereka untuk menjadi komunikator yang berkesan, cerdas emosi dan mampu berinteraksi merentas budaya, bertanggungjawab, berdaya saing, cekal dan yakin. Untuk memupuk identiti nasional dalam diri pelajar, mereka harus mempunyai jatidiri kebangsaan dan memahami aspirasi Negara.

Terdahulu, Naib Canselor yang juga Komandan PALAPES UniMAP Leftenan Kolonel Prof. Ts. Zaliman Sauli berkata bagi tahun 2022, seramai 3,238 mahasiswa Diploma dan Ijazah mengambil kursus badan beruniform manakala 1,285 yang lain mendaftar kursus ko-kurikulum lain berteraskan sukan, kebudayaan, keusahawanan, kepimpinan, daya usaha dan inovasi, pengucapan awam dan khidmat komuniti.

Ujar beliau, pada semester ini, sebanyak 57 kursus ditawarkan kepada pelajar di UniMAP seperti PALAPES, Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (SISPA), BSMM Relasis dan pelbagai lagi selain St. John Ambulans dinaik taraf sebagai Kor manakala Sukarelawan Bantuan Perubatan Malaysia (Young Mercy) dan Badan Beruniform Bomba dan Penyelamat akan turut dinaik taraf sebagai Kor selepas ini.

“Jumlah yang besar itu telah memberi impak yang positif dalam aspek perpaduan dan jati diri kepada mahasiswa UniMAP keseluruhannya,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan di majlis yang diadakan di perkarangan Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.

Turut hadir ialah Komandan Kor SUKSIS UniMAP merangkap Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP ACP/KS Prof Dr Mohd Fo'ad Sakdan dan Pengarah Pusat Ko-Kurikulum, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP, Prof Madya Ts. Dr Nik Noriman Zulkepli.

Tambah Prof Dr Zaliman, melalui kemahiran-kemahiran yang dipelajari menerusi Ko-kurikulum Badan Beruniform, ia mampu melahirkan graduan yang berketerampilan, bersemangat patriotik, berdisiplin dan bernilai murni ke arah pembentukan sumber tenaga manusia negara yang mempunyai personaliti menjulang seterusnya memberikan impak yang besar terhadap kebolehpasaran graduat.

“Semangat perpaduan yang diterapkan melalui Badan Beruniform di mana pelajar diwajibkan untuk terlibat dengan Badan Beruniform di mana kita percaya, melalui silibus badan beruniform tersebut, ia akan membantu membentuk semangat patriotik yang tinggi agar dapat membendung budaya negatif yang kian agresif pada masa kini.

“Di UniMAP sendiri, program-program seperti 7Pillars, Program Keusahawanan dan pelbagai lagi sentiasa dirangka bagi mendedahkan mahasiswa dengan program yang mampu memberi impak perpaduan kepada pelajar tanpa mengira agama, warna kulit dan bangsa dalam pelbagai program yang dirancang dan dilaksanakan mampu memberi kesan positif dalam perpaduan kaum di Malaysia dan seterusnya memupuk semangat kerjasama dan berpasukan,” katanya.