- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Naib Canselor UniMAP, Rakyat Malaysia Pertama Lancarkan Penerbangan Pesawat UAV Di Jerman
9 APRIL 2013
PENZBERG: Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Dato Prof. Dr. Kamarudin Hussin mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia pertama yang diberi penghormatan untuk melancarkan penerbangan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) di Penzberg, Jerman, semalam.
Menurut Dato’ Kamarudin, peluang itu merupakan yang julung kali diberikan kepada individu luar dan beliau amat berbangga kerana diberikan penghormatan untuk menjadi Rakyat Malaysia pertama melancarkan UAV tersebut.
“Penghormatan ini menunjukkan bahawa UniMAP semakin dikenali dan disegani bukan sahaja oleh pihak industri dalam negara malahan di arena antarabangsa,” katanya pada Majlis Pelancaran pesawat UAV di Lapangan Terbang Tentera Jerman, di sini.
Turut hadir wakil syarikat EMT, Horst H. Bauch, Ketua Kluster Unmanned Aerial System, Prof Madya Dr Hazry Desa, Dekan Pusat Pengajian Sistem Elektrik, Dr. Mohd. Fareq Abd. Malek dan Timbalan Pengarah, Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Shafiq Hizwari Md. Hashim.
Model pesawat UAV yang dikenali sebagai LUNA itu adalah hasil teknologi dan ciptaan syarikat EMT yang berpengkalan di Jerman, ia kini sedang digunapakai di negara seperti Afghanistan, Arab Saudi, Jerman, Pakistan dan lain-lain negara bagi tujuan keamanan dan ketenteraan.
EMT German merupakan sebuah syarikat pembuatan pesawat tanpa pemandu yang telah beroperasi lebih 30 tahun dan mempunyai rangkaian produk yang telah terbukti keberkesanannya seperti LUNA, ALADIN, MUSECO dan FanCopter.
Pada majlis itu juga, pihak UniMAP dan EMT telah menandatangan satu memorandum persefahaman (MoU) bersama Institute of Flight System Dynamics di Munich Technical University dan Syarikat EMT bagi mewujudkan kerjasama untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan UAV (COEUAS) di negeri Perlis.
Inisiatif ini terhasil apabila Prof. Madya Dr. Hazry Desa, pakar UAV UniMAP ditawarkan bagi menjalinkan kerjasama pintar oleh syarikat EMT dan kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menganjurkan satu persidangan antarabangsa dalam bidang UAV yang bakal diadakan di Malaysia pada tahun hadapan.