A+ A A-

PERATUSAN GE UniMAP 2021 MELEBIHI 93 PERATUS

Oleh: NURUL AIDA OTHMAN

PAUH PUTRA, 24 Jun - Ekoran pasaran pekerjaan Malaysia yang semakin pulih dengan bilangan jawatan bertambah menjadi 8.57 juta pada suku pertama tahun ini, turut memberi impak kepada kenaikan data Kebolehpasaran Graduan (GE) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi kohort 2021.

GE UniMAP kohort 2021 telah mencapai tahap 93.9%, melebihi angka 85% yang disasarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata hampir 49.1% graduan UniMAP memilih sektor swasta tempatan dan GLC, manakala lebih 34.2% daripada mereka memilih sektor multinasional.

“Jangkaan pelajar yang akan menamatkan pengajian tahun (2022) ini seramai 3,468 orang, dan jika mereka berjaya memenuhi peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan tersebut, hampir 34% KPI GE tahun ini akan dipenuhi.

 

“Atas dasar itu juga, UniMAP meluas dan mengukuhkan jaringan industri dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama KXP Airport City Holdings Sdn. Bhd.; Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd; dan Celcom Axiata Sdn. Bhd.,” katanya ketika merasmikan Penutupan e-Northern Industrial Career Engagement and Entrepreneurship Carnival 2022 (e-NICE 7 - EC) yang berlangsung secara dalam talian di Auditorium Tuanku Syed Sirajuddin di sini, semalam.

Turut hadir Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, KXP Airportcity Holdings Sdn. Bhd., Nur Salman Saad; Ketua tanggungjawab Korporat & Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Bhd., Areehan bin Hj. Abdullah; dan Pengarah, Factory Automation and Smart Manufacturing, Micron Technology, Inc., Ts. Azhar Md Nayan.

Tambah Prof. Dr. Zaliman lagi, penganjuran program eNice7-EC dapat meningkatkan kesiapsiagaan bakal graduan menempuhi alam pekerjaan

“Malah ia membantu pelajar untuk memantapkan pemahaman mengenai sektor-sektor industri berasaskan National Key Economic Area (NKEA) negara seperti Elektrik dan Elektronik, Automotif, Perniagaan Servis dan Kewangan, Minyak dan Gas dan Sektor Pembuatan.

“Selain itu, elemen-elemen keusahawanan juga diterapkan dalam program ini bagi memperkasa para graduan untuk menjadi usahawan,” katanya.

Katanya lagi, seramai 2800 pelajar yang mengikuti slot-slot ini menunjukkan minat mendalam mengenai perkembangan dunia pekerjaan dan keusahawanan semasa.

“Saya juga difahamkan 19 slot dalam talian bagi syarikat dan agensi kerajaan dari pelbagai sektor telah disediakan.

“Disokong oleh platform yang telah diwujudkan oleh penganjur bersama iaitu Talentbank, para pelajar kini boleh melayari lebih dari 1,191 peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh hampir 460 syarikat-syarikat tempatan mahupun syarikat multinasional,” katanya.

Malah Prof. Dr. Zaliman berkongsi statistik laman web unimapnice.com telah dilayari oleh hampir 5,000 pengguna dengan 1,292 pelajar telah mendaftar dan memohon pekerjaan dengan syarikat-syarikat yang mengiklankan keperluan tenaga kerja di syarikat masing-masing.

“Karnival Kerjaya edisi kali ini disertai oleh Perusahaan Otomobil Nasional (Proton Holdings Berhad), SilTerra, Shopee, Prosple, Keysight Technologies, TEKUN Nasional, Mega Jati Academy, Multitrade Asiapac, Aerospace Composites Manufacturing Sdn. Bhd., Greatech, Bank Rakyat, PKT Logistics Group Sdn. Bhd dan Prudential BSN Takaful Bhd.

“Saya yakin dengan pembangunan kerjaya yang holistik graduan UniMAP mampu menjadi modal insan yang boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.