Logo

STEM STREET DEDAH KEPENTINGAN AGROTEKNOLOGI

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 29 Jun - Dijangka seramai 41 juta penduduk dunia akan menghadapi masalah kebuluran ekoran krisis makanan yang bakal melanda dunia seperti amaran dikeluarkan Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBBB) pada 21 Jun yang lalu.

Malaysia juga tidak terkecuali kerana kebergantungan terhadap bahan makanan yang diimport dari luar negara adalah tinggi hingga mencecah billion ringgit setahun.

Sebagai persediaan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan Program STEM Street Fasa 1, 2022 khusus bagi memberikan pendedahan dan pemahaman mengenai bidang agroteknologi atau teknologi moden yang berlangsung di universiti tersebut, semalam.

Program anjuran bersama Pusat STEM Negara; Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM); dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu telah disertai seramai lebih kurang 250 guru kaunselor sekitar Perlis.

 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail ketika membaca teks ucapan Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli, Malaysia juga akan menerima tempias kerana pada tahun 2020 sahaja negara telah mengimport beras bernilai AS$620 juta.

“Bukan niat saya untuk menakutkan anda tetapi ini adalah hakikat yang perlu kita terima sekiranya kita terus-menerus mengimport makanan dari luar.

“Itulah kepentingan industri agroteknologi terutamanya “Food Security” dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat sesebuah negara,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Sektor Perancangan wakil Pengarah Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Ahmad Sabri Mohamad; dan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Mohd Yusoff Mashor.

Ujar beliau, Malaysia bukanlah negara yang ketinggalan dalam bidang agroteknologi, bahkan mempunyai ramai pakar dalam bidang ini.

“Malah UniMAP sendiri telah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan dua program di peringkat ijazah sarjana muda iaitu Program Kejuruteraan Pertanian dan Program Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Sistem Pertanian) bagi menghasilkan para graduan yang akan berkecimpung dan menyumbang dalam sektor agroteknologi negara.

“Di samping itu, UniMAP juga mempunyai Pusat Kecemerlangan yang khusus iaitu Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) dalam mempelopori bidang agroteknologi pintar,” katanya.

Tambahnya, walaupun bidang agroteknologi ini bukan satu bidang yang popular tetapi dengan ilmu yang cukup, bidang ini mampu menjanjikan pulangan yang lumayan sehingga bergelar jutawan.

“Sudah sampai masanya kita mengubah mentaliti golongan graduan yang semata-mata mahu bekerja dengan kerajaan sebaik tamat pengajian di universiti memandangkan peluang menjana pendapatan melalui sektor pertanian moden sudah dibuka seluas-luasnya oleh kerajaan.

“Apa yang kita perlukan adalah untuk memupuk minat generasi muda kita meminati bidang pertanian dan agroteknologi dan saya mohon kerjasama serta bantuan semua kaunselor untuk memberikan pendedahan kepada golongan muda mengenai potensi bidang agroteknologi dan kejayaan yang diraih rakyat kita dalam bidang ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, jika usaha ini berjaya, Malaysia mampu untuk meningkatkan pengeluaran bahan makanan daripada petani tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan yang diimport dari luar negara yang menelan kos perbelanjaan mencecah billion ringgit setahun.

Pada program tersebut, salah seorang alumni UniMAP tahun 2019, Teoh Shu Hua (26) yang menjadikan bidang agroteknologi sebagai sumber pendapatan turut dijemput untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan beliau dalam bidang tersebut.



 

Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.