Logo

SUKSIS UniMAP KEKALKAN KEJUARAAN SUTRA 10

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 26 Jun - Kontinjen Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengekalkan kejuaraan apabila dinobatkan johan keseluruhan Kejohanan Sukan SUKSIS Zon Utara (SUTRA) edisi ke-10 di sini, semalam.

UniMAP berjaya meraih empat pingat emas, empat perak dan dua gangsa menewas pesaing tradisinya, SUKSIS Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat kedua dengan pungutan empat pingat emas, dua perak dan empat gangsa.

Manakala SUKSIS Universiti Utara Malaysia (UUM) sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan dua emas, empat perak dan empat gangsa.

Emas UniMAP disumbangkan oleh sukan futsal lelaki, bola jaring, dan Iron Man serta empat acara olahraga yang melayakkan UniMAP memenangi keseluruhan acara olahraga dan meraih satu pingat emas.

Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah SUTRA Edisi ke-10 telah disampaikan oleh Ketua Polis Perlis, YDH DCP Dato' Surina Saad.

 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNCHEPA) merangkap Komandan Kor SUKSIS UniMAP, ACP/KS Prof. Dr. Mohd Fo'ad Sakdan; dan Ketua Polis Daerah Arau, Supt. Ahmad Mohsin Md Rodi.

Menurut Dato’ Surina, penganjuran SUTRA 10 selepas tiga tahun terhenti kerana pandemik COVID-19 telah berjaya menyemarakkan semangat kesukanan dalam kalangan warga SUKSIS walaupun terpaksa berpanas dan berkampung selama dua hari ini.

“Hari ini membuktikan kebersamaan kita seramai 400 warga SUKSIS telah mencapai penyatuan yang amat tinggi kerana melalui SUTRA para pelatih pelbagai peringkat, junior, intern dan senior bergabung tenaga dan semangat untuk menaikan nama bukan sahaja SUKSIS PDRM tetapi juga nama PDRM di persada tanah air.

“Saya percaya SUTRA ini amat membantu universiti khususnya dalam melahirkan atlet untuk digilap dan diketengahkan ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa walaupun dalam tempoh yang singkat tetapi masih sempat untuk diiktiraf bakat mereka,” katanya ketika berucap merasmikan SUTRA 10.

Tambah beliau, SUTRA juga telah membawa satu dimensi baharu kepada PDRM kerana bakat-bakat yang dihasilkan ini boleh turut membantu mewakili PDRM atau Malaysia ke kejohanan atau temasya sukan di peringkat antarabangsa.

“Jika digabungkan ketiga-tiga SUKSIS Zon Utara iaitu UniMAP, UUM dan USM, kira-kira hampir 200 pegawai kanan PDRM sekarang adalah alumni Kor SUKSIS dan ini bermakna mereka ini pernah menyertai SUTRA yang diperkenalkan sejak tahun 12 tahun lalu.

“Justeru saya amat memuji kewujudan SUTRA yang kekal sehingga hari ini dan berharap agar diteruskan momentumnya ke peringkat sukan SUKSIS kebangsaan,” katanya.

SUTRA 10 mempertandingkan 10 acara iaitu Bola Sepak; Bola Jaring; Futsal (L); Futsal (W); Bola Tampar (L); Bola Tampar (W); Iron Man; Iron Lady; Badminton; dan Olahraga serta penganjuran SUTRA 11 nanti akan dihoskan oleh SUKSIS USM pada 2023.

Untuk rekod, SUTRA mula diperkenalkan pada tahun 2010 dan pada SUTRA 9 (2019), UniMAP muncul johan keseluruhan dengan catatan tiga emas, dua perak, dan empat gangsa menewaskan USM di tempat kedua dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang di tempat ketiga.



Berikut adalah kedudukan pingat :

*A. SUKSIS UniMAP*
4 Emas
4 Perak
2 GANGSA

*B. SUKSIS USM*
4 Emas
2 Perak
4 GANGSA

*C. SUKSIS UUM*
2 EMAS
4 PERAK
4 GANGSA



 

Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.