A+ A A-

204 INSPEKTOR KOR SUKSIS UA ZON UTARA TAMAT LATIHAN

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 1 Oktober – Seramai 204 Inspektor Kor Sukarelawan Siswa/Siswi Polis (SUKSIS) Universiti Awam (UA) Tahun 2022 Zon Utara menerima sijil pelantikan di Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.

Mereka adalah 56 daripada UniMAP, 81 daripada dua skuad Universiti Utara Malaysia (UUM) dan 67 daripada Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sijil pelantikan daripada Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Dato’ Aidi Ismail.

Dato’ Aidi ketika berucap merasmikan Majlis berkenaan berkata beliau menyeru agar pegawai pegawai Kor SUKSIS yang dilantik agar menjauhkan diri daripada segala bentuk gejala sosial, serta pelanggaran undang-undang negara.

 

“Sebagai pegawai Kor SUKSIS, tuan-tuan dan puan-puan seharusnya menjadi contoh ikutan kepada pelajar-pelajar lain dengan sentiasa menjaga disiplin diri ke arah membentuk generasi graduan yang Berjaya dan cemerlang dalam segenap aspek kehidupan.

Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat mengamalkan disiplin yang tinggi, berintegriti, mempunyai kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Raja dan negara, mematuhi undang-undang dan sentiasa berbakti serta melaksanakan tanggungjawab kepada masyarakat dan negara,” kata beliau.

Turut hadir Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli, Ketua Polis Perlis DCP Dato Surina Saad, Ketua Penolong Pengarah JPJKK PDRM Senior Asisten Komisioner Polis Azhan Abdul Halim, dan Komandan-komandan Kor SUKSIS UA Zon Utara.

Tambah beliau, beliau juga berharap agar semua Pegawai-Pegawai Kor SUKSIS dapat menjadikan kerjaya kepolisan sebagai kerjaya pilihan utama.

Pengalaman menjalani latihan selama 3 tahun bersama Kor SUKSIS akan menjadi satu kelebihan dalam proses saringan dan temuduga yang dijalankan,”ujarnya.

Terdahulu, dalam majlis sama turut diadakan penyampaian Anugerah Pelatih Terbaik Keseluruhan kepada Abdul Khalim Al Azizi Syahril dari UniMAP, Noranisah Mohd Zainuddin dari Skuad 2017 UUM, Muhamad Faris Mohd Yunus dari Skuad 2018 UUM dan Muhammad Faizul Mohd Noor dari USM.

Turut dianugerahkan Anugerah Latihan Luar Terbaik kepada Muhammad Afnan Arzahari (UniMAP) Nur Affifah Nabilla Mohamad Salahuddin (UUM skuad 2017) Siti Nurfatihah Mohd Zaini (UUM Skuad 2018) dan Muhammad Faiz Syarizan (USM).

Selain Anugerah Akademik Terbaik kepada Hanis Rosli dari UniMAP,Syafiq Muhamad Azhar dari Skuad 2017 UUM, Mohamad Farid Mohd Zaini dari Skuad 2018 UUM manakala dan Mas Diyatul Fitri Che Ros dari USM.

Abdul Khalim Al Azizi yang juga Wira TVET Negara dan mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Sidang Akademik 2021/2022 UniMAP berkata beliau memang berhasrat untuk mencapai cita-cita sebagai polis sejak kecil lagi.

“Walaupun tiada ahli keluarga terdiri daripada polis namun saya berhasrat menjadi polis kerana begitu meminati kerjaya berkenaan yang perlu lebih berdisiplin dan saya dapat berkhidmat kepada masyarakat dan negara,”katanya.

Sementara itu, Mas Diyatul Fitri Che Ros dari USM menarik perhatian ramai kerana menerima Sijil Pelantikan dengan tangan berbalut akibat patah pergelangan tangan.

Katanya yang berasal dari Kulim Kedah, pada awalnya beliau agak kecewa kerana bimbang tidak dapat ditauliahkan akibat kecederaan berkenaan selepas tiga tahun bertungkus lumus menyertai Latihan Kor Suksis.

“Namun Alhamdulillah jurulatih Kor Suksis USM iaitu Encik Nasrullah, Encik Mohd NorHanis, Encik Shahril dan jurulatih yang lain serta rakan-rakan banyak membantu sehingga saya dapat juga menerima Sijil Tamat Latihan selain dinobatkan antara penerima anugerah pelatih terbaik akademik,” katanya yang mengalami kecederaan itu ketika hari pertama latihan di UniMAP kerana jatuh ketika berkawad.