A+ A A-

UniMAP RAI MEDIA PERLIS, KEDAH DALAM GGM 2022

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 26 Ogos - Lebih 60 pengamal media Perlis dan Kedah diraikan dalam majlis Gala Gemilang Media (GGM) 2022 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di ruang makan Dewan Senat, Canselori Tuanku Syed Sirajuddin di sini, malam tadi.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, GGM merupakan majlis khas anjuran Universiti Awam (UA) tersebut bagi menghargai sumbangan dan sokongan pengamal media khususnya di dua negeri berkenaan dalam membantu menaikkan nama UniMAP.

Katanya, media memainkan peranan besar sebagai agen dalam membantu UniMAP menyampaikan maklumat-maklumat terkini berkaitan universiti kepada masyarakat secara komprehensif dan menyeluruh.

 

“Hasilnya nama UniMAP sentiasa terpampang di dada akhbar, internet mahupun di corong radio dan skrin televisyen.

UniMAP pada tahun ini sudah berusia 21 tahun dan saya kira bukan perkara mudah untuk institusi ini meniti setiap garis cabaran bagi menggapai kejayaan tanpa sokongan publisiti mahu pun promosi daripada rakan-rakan media,” katanya.

Tambah Prof. Dr. Zaliman, jika tiada aral, GGM akan diadakan sebagai program tahunan sepertimana program-program tahunan UniMAP yang lain supaya sinergi antara kedua-dua pihak terus segar.

Bersempena penganjuran GGM kali ini, terdapat tujuh anugerah turut disampaikan kepada pengamal media yang menghantar penyertaan.

Bagi Anugerah Liputan Berita Terbaik Bahasa Melayu 2021 dimenangi Aizat Sharif dari Berita Harian dengan tajuk ‘UniMAP azam jadi Universiti Awam (UA) pilihan’.

Anugerah Liputan Berita Terbaik Bahasa Cina 2021 pula disandang Gee Hui Lan dari Kwong Wah Yit Poh bertajuk ‘UniMAP lancar siri pendaftaran Khas UR1-UR9999’.

Manakala Anugerah Liputan Berita TV Terbaik 2021 pula dimenangi Amira Suriani Che Mohamad dan Mohd Harith Rosli dari Didik TV, Media Prima bertajuk ‘UniMAP benar pelajar guna makmal komputer alternatif jalani PDPR’.

Bagi Anugerah Liputan Rencana Terbaik 2021 pula diraih Chong Keat Yin dari Sin Chew Daily bertajuk ‘UniMAP menyenaraikan 10 indikator bagi meningkatkan reputasi universiti’.

Anugerah Gambar Inisiatif 2021 pula diraih Kang Chew Thye dari Guang Ming Daily bagi gambar liputan ‘Nombor Plat Pendaftaran UR Dapat Hasil 200 Ribu, UR Harga Tender Cecah 130 Ribu’ dan Anugerah Khas Liputan Terbanyak 2021 pula dimenangi RTM.

Sebagai tanda keprihatinan UniMAP juga turut mengurniakan Anugerah Prihatin Media kepada wartawan Harakah, Noor Sara Mashitoh Mohamad Hanif yang kehilangan suaminya pada Oktober lepas.

Penerima setiap kategori membawa pulang wang tunai RM500 serta sijil penyertaan.

GGM 2022 tahun ini memilih tema filem Pahlawan dan Srikandi di mana semua tetamu berpakaian ala pahlawan bagi lelaki dan srikandi untuk wanita.

Wartawan Sholina Osman dari Suara Merdeka dipilih pemenang kategori pakaian srikandi, manakala pakaian pahlawan oleh Syed Azlan Sayed Hizar dari Kosmo dengan masing-masing menerima hadiah berupa “Gold Wafer” Habib Jewel bernilai RM300.00 setiap seorang.