A+ A A-

UniMAP DAN ANAK SYARIKAT JALIN KERJASAMA BANGUNKAN UniMAP AGRO-NEXUS (UAN) HASILKAN PROJEK BAJA MARIN ORGANIK

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PADANG BESAR, 5 Ogos 2022 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah dalam memanfaatkan aktiviti penyelidikan dan pertanian di kawasan Agro Research Park merangkumi lapan projek pertanian dikenali sebagai UniMAP Agro-Nexus (UAN) menerusi jalinan industri.

Hasil daripada penubuhan AUN berkenaan, UniMAP Holdings Sdn Bhd yang juga anak syarikat UniMAP menandatangani memorandum perjanjian (MoA) bersama UniMAP menerusi Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) dan Bio Supreme Sdn Bhd dengan Projek Baja Marin Organik “UniSEA” adalah salah satu projek yang disenaraikan bagi tempoh tiga tahun pertama perjanjian berkenaan.

Projek berkenaan dirasmikan oleh Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man di majlis yang diadakan di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP, di sini hari ini.

Dalam perjanjian berkenaan, UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof Ts Dr Zaliman Sauli, manakala UniMAP Holdings diwakili Pengarah, Dato’ Ghazali Mat Ariff serta pihak industri Bio Supreme diwakili Presidennya, John Soo Chin Leong.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Dato’ Hamdan Bahari, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan barisan Exco Kerajaan Negeri Perlis.

Baja Marin Organik UniSEA iailah produk pertama hasil penyelidikan yang telah dijalankan oleh sekumpulan penyelidik UniMAP diketuai Prof Madya Dr Midhat Nabil Ahmad Salimi dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK) bersama enam penyelidik lain dan dibantu oleh pihak Bio Green Supreme Sdn Bhd menerusi perkongsian teknologi.

Penubuhan UAN pula merupakan perancangan projek di kawasan kampus Sg. Chuchuh yang melibatkan penggunaan tanah seluas 152.97 ekar dengan pembangunannya dicadangkan bagi membantu pembelajaran akademik, keusahawanan dan aktiviti penyelidikan berteraskan teknologi pertanian terkini di plot-plot ladang, menyokong pembangunan projek berasaskan pertanian dan aktiviti inkubator-tani di kalangan pelajar dan Alumni UniMAP serta dapat menjana pendapatan kepada universiti.

Terdapat enam syarikat yang terlibat iaitu:

UniMAP Holdings Sdn. Bhd. – bagi penggunaan 24-unit rumah hijau, 4 unit kolam dan sebuah rumah pemprosesan untuk ‘Pembangunan Semula Kawasan Projek Komersial Mangga UniMAP, Sungai Chuchuh, Padang Besar, Perlis’. – 3 tahun.

Xenergi Sdn. Bhd. – bagi penggunaan tanah berkeluasan 5 ekar tanah untuk tujuan ‘Projek Penyelidikan dan Kultur Alga kepada Bahan Api Hijau’dalam tempoh 3 tahun.

Kenaf Plantation Global Sdn. Bhd (KPG) – penggunaan tanah seluas 5 ekar bagi ‘Cadangan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Penanaman Kenaf untuk Penghasilan Benih dan Biojisim’. – 3 tahun.

Walta MDI Sdn. Bhd. – penggunaan tanah seluas 5 ekar bagi cadangan projek tanaman buah naga dan betik di kawasan pembangunan ARP. – 3 tahun.

Projek Inkubator Penternakan Ikan – Sistem tangki di INSAT oleh syarikat berpotensi.

Alumni UniMAP bagi penanaman sayur – sayuran di tanah pembangunan Inkubator Agrotech – 3 tahun.