A+ A A-

UniMAP TERIMA 1,921 PELAJAR BAHARU IJAZAH SARJANA MUDA

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 10 Oktober – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merekodkan kemasukan seramai 1,921 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2022/2023, hari ini.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata mereka terdiri daripada 931 pelajar lelaki dan 990 pelajar perempuan itu bakal mengikuti Minggu Suai Kenal yang dijadual berlangsung selama satu minggu.

 

Ujarnya, daripada jumlah itu pelajar dari Kedah adalah paling ramai iaitu 380 orang, diikuti negeri Perak 296 orang serta 273 dan 272 dari Pulau Pinang dan Selangor bagi mengikuti 36 program pengajian.

“Pada kesempatan ini izinkan saya menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ibu bapa dan waris yang memilih UniMAP sebagai tempat anak-anak menimba ilmu yang akan pihak UniMAP manfaatkan sebaiknya,” katanya ketika berucap di Majlis Taklimat Waris Minggu Suai Kenal Sarjana Muda 2022/2023.

Turut hadir ke majlis itu ialah pengurusan tertinggi UniMAP dan dekan-dekan fakulti.

Menurut beliau, ibu bapa juga tidak perlu khuatir mengenai penginapan anak-anak kerana UniMAP mewajibkan semua pelajar menginap di kolej kediaman.

“Para pelajar ditempatkan di enam kolej kediaman iaitu Kompleks Perumahan Tan Sri Aishah Ghani, Kompleks Perumahan Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kompleks Perumahan Pauh Putra, Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah, Kompleks Perumahan Uniciti Alam, dan Kolej Kediaman Tunku Abdul Rahman.

“Malah keselamatan dan kebajikan anak-anak pelajar akan lebih terjamin kerana UniMAP sentiasa memantaundan mengambil berat apabila anak-anak berada di asrama dengan pelbagai kemudahan tersedia,” katanya yang turut memperkenalkan barisan pengurusan tertinggi dan dekan kepada ibu bapa dan pelajar.