Logo

SENTIASA BERPEGANG TEGUH PRINSIP RUKUN NEGARA - RAJA MUDA PERLIS

Oleh: Nurul Aida Othman

ALOR SETAR, 7 November - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menggesa pegawai muda untuk sentiasa berpegang teguh kepada 5 Prinsip Rukun Negara dan ikrar sebagai rakyat Malaysia yang setia bagi mengelakkan kesejahteraan negara terjejas.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Santapan Malam sempena Pentauliahan Pegawai Kadet PALAPES UniMAP yang berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre, di sini malam tadi.

Titah baginda, usaha mengekalkan keharmonian negara yang mempunyai rakyat berbilang kaum bukan sesuatu yang mudah.

 

“Tanpa kerjasama daripada generasi muda nescaya negara akan menghadapi kepincangan dengan perpaduan rakyatnya yang rapuh.

“Pegawai Muda perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama berhubung perihal komuniti setempat agar sebarang keadaan yang tidak diingini dapat dielakkan,” titah Baginda.

Ujar Baginda lagi, mereka perlu sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi bencana yang diramalkan berlaku terutama pada penghujung tahun di mana banjir kerap kali berlaku ketika itu.

“Namun ia bergantung kepada arahan sama ada daripada pihak institusi mahupun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sendiri, tetapi Pegawai Muda harus sentiasa bersedia untuk menabur khidmat dan bakti dalam menjamin keselamatan komuniti setempat.

“Malah mereka juga perlu menjaga keharmonian hidup bermasyarakat walau di mana berada khususnya menjelang Pilihan Raya Umum yang akan berlangsung pada 19 November ini, demi memastikan kedaulatan negara sentiasa terjaga,” titah Baginda.

Pada majlis itu seramai 113 pegawai muda dengan pecahan 40 orang dari ambilan 13 dan 73 orang dari pengambilan 14 diraikan setelah ditauliahkan dalam Rejimen Askar Wataniah.

Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, tahun ini merupakan tahun istimewa kerana telah diadakan Istiadat Pentauliahan sebanyak dua kali.

“Bagi pengambilan 13 mereka ditauliahkan dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES DARAT Universiti Awam Ke-39 Zon Utara di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 7 Februari 2022 lalu.

“Manakala bagi Pegawai Muda ambilan 14 pula, Istiadat Pentaulihan DiRaja Kadet PALAPES IPTA telah didakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 10 September 2022,” katanya.

Prof. Dr. Zaliman berharap pegawai muda yang telah melangkah ke alam pekerjaan tidak melupakan UniMAP dan status alumni PALAPES mereka serta mengalukan bentuk sumbangan seperti idea, dana atau kerjasama strategik yang boleh diberikan dalam membantu, membangunkan dan melestarikan PALAPES UniMAP.

“Saya dimaklumkan seramai 39 orang dari Batch 13 dan 72 orang dari Batch 14 telah pun bekerja dan baki daripada itu iaitu seramai 2 orang telah menyambung pengajian ke peringkat Sarjana di UniMAP,” katanya.

Malah beliau turut berkongsi bilangan alumni PALAPES UniMAP yang telah diterima menyambung perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Seramai enam orang berkhidmat sebagai pegawai kerahan dan 19 orang sebagai Pegawai Kadet Graduan melibatkan pecahan perkhidmatan 14 orang dalam Tentera Darat, tiga orang dalam Tentera Udara dan dua orang dalam Tentera Laut manakala 12 orang telah menjadi Pegawai Polis di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia,” katanya.



Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.