- Kategori: BERITA - Malay
Pemimpin Lebih 100 Universiti Asia Dijangka Sertai AUPF 2013
KANGAR, 16 Julai (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan menganjurkan Asian University Presidents Forum (AUPF) 2013 yang dijangka menghimpunkan pemimpin tertinggi lebih 100 universiti di Asia pada Oktober ini.
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin berkata forum bertemakan 'Leadership In The Transformation of Asia: Opportunities and Challenges' itu dijadualkan berlangsung selama empat hari di Perlis dan Pulau Langkawi bermula 6 Okt.
Bercakap kepada Bernama di sini Selasa, beliau berkata UniMAP yakin akan menjadi penganjur terbaik forum terbesar itu yang secara tidak langsung akan terus menyerlahkan nama UniMAP di mata dunia.
Ini adalah kali pertama forum itu diadakan di Malaysia sejak diperkenalkan 11 tahun lepas di Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), China.
Kamarudin berkata pemilihan UniMAP sebagai tuan rumah itu bukan sekadar satu penghormatan tetapi turut menggambarkan keyakinan universiti-universiti di Asia terhadap UniMAP.
Berhubung lawatan kerjanya ke Qatar minggu lalu, beliau berkata UniMAP telah mengadakan perbincangan dengan beberapa institusi pengajian tinggi negara itu bagi mengukuhkan rangkaian antarabangsanya.
Katanya institusi pengajian tinggi di Qatar juga diundang menghadiri AUPF selain mengadakan perbincangan berkaitan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan termasuk pertukaran pelajar dan tenaga kerja.