A+ A A-

Pensyarah UniMAP Diiktiraf Antara 50 Pakar Industri UAS Berpengaruh di Asia

KANGAR, 6 April — Teknologi Sistem Tanpa Pemandu (UAS) bagi menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) bukanlah sesuatu yang baru, malahan ia telah digunakan oleh negara-negara maju bukan saja untuk bidang ketenteraan malahan pertanian, perlombongan, pemantauan, pengurusan bencana dan lain-lain lagi.

Malaysia juga tidak ketinggalan dalam bidang ini apabila empat rakyatnya telah diiktiraf sebagai pakar UAV di Asia, dan salah seorang darinya merupakan Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Hazry Desa. Beliau yang juga Ketua Pusat Kecemerlangan UAS UniMAP berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu menguasai bidang berteknologi tinggi itu. “Pengiktirafan ini adalah untuk semua warga UniMAP terutama sekali Naib Canselor, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin yang sentiasa memberi sokongan untuk kami menjalankan penyelidikan berkaitan UAV. “Saya berharap melalui pengiktirafan yang diperoleh ini akan dapat meningkatkan lagi minat pelajar-pelajar untuk menceburi bidang UAV,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

UniMAP baru-baru ini melancarkan UAV KAMA-2X sekaligus berjaya menjual 10 unit pesawat tersebut kepada Aerial Imaging Sdn. Bhd. (AISB) bernilai RM500,000 bersempena penganjuran Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA’15). Pesawat KAMA-2X yang dinamakan bersempena nama Naib Canselor UniMAP itu djual pada harga RM50,000 setiap unit setelah melalui proses penyelidikan selama tujuh tahun oleh para penyelidik CEOUAS. Menurut Dr. Hazry, penyelidikan pesawat berkenaan yang dijalankan dengan kerjasama syarikat Drei Sohne Technology Sdn. Bhd. (DST) pada asalnya digunakan untuk meracun serangga bagi tanaman padi di Perlis.

“Selepas melalui beberapa fasa penyelidikan, pesawat ini ditambah nilai bagi menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh termasuk digunakan bagi merakam imej banjir di Kelantan baru-baru ini sebelum datanya diproses di dalam perkakasan komputer bagi menghasilkan lakaran imej tiga dimensi (3D). “Saya percaya kepakaran yang dimiliki oleh pakar UAV terutama yang ada di Malaysia ini seharusnya digunakan dengan sebaiknya untuk manfaat negara.

“Saya berharap akan ada lebih ramai lagi pelajar yang akan menyambung pelajaran dalam teknologi UAV ini, sekaligus melahirkan lebih ramai lagi pakar dengan bidang yang berkaitan,” ujarnya yang turut diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada The Commercial UAV Show Asia 2015, yang dijadualkan pada 30 Jun ini di SUNTEC Singapore Convention and Exhibition Centre.

 UAV

UAV

UAV