- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pensyarah UniMAP Dilantik Pengurus Jabatan Akademi IFIA Berpusat Di Switzerland
Bangkok, 5 Februari – Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah mencipta sejarah tersendiri menjadi satu-satunya anak Melayu yang menganggotai International Federation of Inventors Association (IFIA) yang berpusat di Geneva Switzerland.
Dr. Mohd. Mustafa dilantik sebagai Pengurus bagi Jabatan Akademi IFIA yang baru ditubuhkan tahun ini seperti yang diumumkan oleh Presiden IFIA, Alireza Rastegar dalam satu mesyuarat promosi aktiviti-aktiviti yang bakal dianjurkan antara Setiausaha Agung National Research Council of Thailand (NRCT) Prof. Dr. Soottiporn Chittmittrapap, Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dan IFIA.
Jabatan Akademi IFIA ditubuh bagi menyelaras aktiviti-aktiviti penyelidikan yang member focus kepada program ilmiah selain daripada inovasi seperti bengkel, persidangan, seminar dan kursus jangka pendek.
Pemilihan Dr. Mohd Mustafa dibuat selepas mengambil kira keupayaan, pengalaman dan kepakaran yang beliau miliki terutama dalam membuasayakan aspek inovasi dan penyelidikan di kalangan penyelidik muda bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Dalam pada itu, Dr. Mohd. Mustafa berkata, pelantikan tersebut bukan bersifat peribadi sebaliknya ia secara tidak langsung membantu mempromosikan UniMAP di mata dunia.
“Saya berharap, melalui tanggungjawab yang diamanahkan ini, saya mampu membudayakan sains dan inovasi secara lebih meluas seterusnya melahirkan lebih ramai saintis dari kalangan generasi muda terutama dari Malaysia,” ujar beliau.
IFIA ditubuhkan pada tahun 2006 yang lalu dan kini dianggotai oleh lebih 50 buah negara dari seluruh dunia.