- Kategori: BERITA - Malay
POTENSI UniMAP Anjuran Program Sahabat Sahur
POTENSI UniMAP Anjur Program Sahabat Sahur
Kangar, 7 Julai - Persatuan Pegawai Tadbir Dan Ikhtisas (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menganjurkan program Sahabat Sahur ke Pos-Pos kawalan keselamatan di negeri Perlis yang beroperasi 24 jam pada awal pagi 5 Julai lalu.
Kunjungan tersebut diketuai oleh presidennya Yang Mulia, Raja Shah Erman Raja Arifin yang melibatkan lebih dari 50 ahli POTENSI.
Bermula jam 11 malam, semua ahli akan berkumpul di kampus UniMAP Seriab sebelum bergerak ke tujuh lokasi pos kawalan keselamatan yang beroperasi 24 jam.
Raja Shah Erman berkata, antara tujuh pos kawalan tersebut adalah, Pos Kawalan Batu Putih, Kuala Perlis, Pangkalan Polis Marin, Kuala Perlis, Balai Polis Kuala Perlis, Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Arau, Pos Kawalan UPP Sg ChuChuh , IPD Padang Besar dan Pos Keselamatan Padang Besar II.
“Kunjungan ini akan singgah bertemu, berbual dan bermesra dengan para petugas disamping diedarkan makanan serta minuman untuk bersahur dan dijangka selesai pada jam 5 pagi.
Ini juga bertujuan untuk merasai dan menghayati pengorbanan wira-wira negara ke arah menjaga keamanan dan kedaulatan negara diwaktu kita semua ketika itu dibuai mimpi yang indah,”katanya.
Beliau yakin program itu sedikit sebanyak dapat meningkatkan semangat kenegaraan dalam diri ahli POTENSI melihat pengorbanan yang dibuat oleh wira-wira negara ini.
Sub Inspektor Hairi b Din, Ketua Polis Balai Arau berkata program yang dianjurkan UniMAP ini merupakan satu program yang baik dan dilihat mampu memberi kesan yang mendalam kepada para pegawainya.
“Saya percaya program ini dapat mengeratkan silarurrahim antara anggota polis dan warga POTENSI UniMAP selain berkongsi pengalaman dan mengenali tugas polis dengan lebih dekat lagi,”kata Sub Inspektor Hairi.
Sementara itu, Koperal Dzulkifli Ibrahim dari Balai Polis Kuala Perlis pula berkata, sepanjang perkhidmatan beliau di Balai tersebut ini merupakan kunjungan pertama dari sebuah universiti.
Beliau amat gembira dengan langkah yang diambil oleh pihak UniMAP dan berharap program sahabat sahur ini akan berterusan untuk tahun-tahun akan datang.