- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
PPK Pembuatan Dedah Pelajarnya Dengan Program Tanggungjawab Sosial
KANGAR, 3 Jun — Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tidak hanya tertumpu kepada aktiviti gotong royong dan sumbangan wang ringgit semata-mata, ia mempunyai pelbagai cara untuk membantu masyarakat setempat.
Sebagai sebuah gedung ilmu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil pendekatan baharu dengan berkongsi produk-produk yang dihasilkan pelajarnya untuk dimanfaatkan bersama masyarakat setempat.
Baru-baru ini, seramai 183 pelajar tahun satu jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk Produk dan Ijazah Sarjana Muda Pembuatan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan UniMAP menyerahkan produk yang dihasilkan mereka.
Pensyarah Kanan PPK Pembuatan UniMAP, Dr. Noorhafiza Muhammad berkata, program itu merupakan kali pertama diadakan PPK Pembuatan bertujuan bagi berkongsi produk yang dihasilkan pelajar-pelajar UniMAP.
“Produk-produk papan tanda dan peti surat yang disumbangkan ini merupakan hasil projek yang diusahakan sendiri para pelajar untuk subjek Engineering Workshop dan Manufacturing Technology.
“Program CSR seperti ini akan kita teruskan di tahun – tahun berikutnyadi kawasan yang lain pula untuk memberi peluang kepada masyarakat Perlis menggunakan produk-produk yang dihasilkan pelajar UniMAP,”katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek UCR- University Corporate Responsibility 2015 PPK Pembuatan di Kampung Padang Melangit, dekat sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Kampung Padang Melangit, Hamzah Darus.
Ujar Noorhafiza lagi, di masa akan datang, pihaknya akan bekerjsama dengan Institut Kajian Strategik, Kepimpinan dan Komuniti UniMAP di bawah program Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) untuk meluaskan lagi peluang untuk berkongsi manfaat produk bersama masyarakat Perlis.
Sementara itu, bagi Hamzah Darus, berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan sumbangan produk yang dihasilkan pelajar-pelajar UniMAP itu.
“Saya amat berterima kasih dengan sumbangan ini dan berharap agar dapat mengadakan lebih banyak program bersama UniMAP di masa akan datang,”katanya.