- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Program Jelajah Ilmu UniMAP Buka Ruang Kerjasama Dengan IPT Turki
Daripada Adnan Jahaya
ISTANBUL, (Turki) 12 Dis (Bernama) -- Program Jelajah Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selama lima hari di Turki yang bermula semalam bakal membuka ruang kerjasama antara universiti itu dengan institusi pengajian tinggi (IPT) di negara berkenaan.
Program membabitkan 30 anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 dan pegawai kanan UniMAP itu antara lain turut melakukan kunjungan ilmu ke institusi pengajian tinggi, masjid dan muzium.
Naib Canselor UniMAP Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin mengetuai program kali kesembilan itu bertujuan mendedahkan pelajar dengan sistem pendidikan luar negara di samping membuka ruang kerjasama yang lebih mantap dengan IPT di Turki.
Kamarudin berkata program Jelajah Ilmu UniMAP diperkenalkan pada 2005 dan antara negara yang menjalin kerjasama hasil program itu termasuk Indonesia, Vietnam, China, Hong Kong, Uzbekistan, Australia dan New Zealand.
Beliau berkata melalui program itu, para pelajar diberi peluang berinteraksi dengan kepimpinan pelajar di universiti yang dilawati selain melihat dan menilai sistem pendidikan di luar negara.
Bagi program Jelajah Ilmu di Turki, delegasi UniMAP turut berkunjung ke Yildiz Technikal University (YTU) yang merupakan IPT tersohor di Istanbul serta Fatih University yang merupakan sebuah universiti swasta terkemuka.
Dalam kunjungan ke YTU lewat semalam, delegasi UniMAP diberi taklimat oleh rektornya, Prof Dr Ismail Yuksek mengenai program pengajian yang terdapat di situ di samping meninjau kemudahan makmalnya.
Di Fatih University pelajar diberi taklimat oleh pegawai program antarabangsanya, Mustafa Yusel mengenai institusi pengajian swasta itu yang turut membuat pengambilan pelajar antarabangsa.
Mereka juga turut meninjau kehebatan seni bina Masjid Sultan Ahmed yang lebih dikenali sebagai Masjid Biru yang dibina pada 1609.