- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Kongsi Kepakaran Bangunkan Kerangka Pengurusan Bencana Kelantan
KOTA BHARU, 15 Februari — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menghantar staf yang terdiri dari tenaga pengajar dan pentadbir bagi berkongsi kepakaran pada Persidangan Pengurusan Bencana Banjir Kelantan, di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, baru-baru ini
Persidangan itu merupakan anjuran USM dengan kerjasama Universiti Malaysia Kelantan, Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan bertujuan untuk mengetengahkan pengetahuan, pemahaman dan meningkatkan kesedaran pemulihan pasca banjir serta mencari penyelesaian yang lestari.
Ia telah disertai lebih 300 peserta dari pelbagai sektor kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh negara.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan dan Teknokomunikasi (iKOM) UniMAP berkata, kerajaan negeri perlu memperuntukkan sebahagian bajet tahunan bagi tujuan pengurusan bencana termasuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengumpulkan dana sumbangan dari individu atau pihak tertentu.
“Kerajaan negeri perlu mewujudkan satu jawatankuasa yang mempunyai peruntukan khas supaya pengagihan bantuan bencana boleh dilakukan dengan mudah dan mengelakkan berlakunya penipuan,”katanya yang membincangkan tajuk Kerangka dan Polisi.
Sementara itu bagi Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Pembuatan UniMAP yang membincangkan tajuk ekonomi dan penghasilan berkata, kerajaan persekutuan khususnya Majlis Keselamatan Negara perlu membangunkan satu panduan tetap dalam menguruskan sukarelawan.
“ Para sukarelawan perlulah dilengkapkan dengan pelbagai pengetahuan dari aspek sebelum, semasa dan selepas menguruskan bencana agar mereka betul-betul dalam keadaan bersedia dari segi mental, fizikal dan rohani selain mewujudkan ‘Bank Data’ sukarelawan di Malaysia,”katanya.
Antara staf UniMAP yang turut serta pada persidangan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Ir. Ghafar Ahmad, Penolong Pendaftar Jabatan Keselamatan UniMAP, Mohamad Irhamuddin Mansor dan Pengetua Kolej Kediaman UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.